Muhammad Zahid Md. Arip

PUTRAJAYA – Salah seorang perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu bahawa terdapat usul agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan memegang jawatan itu sehingga Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Sumber itu memberitahu media, usul itu dibuat dalam sesi perbahasan ucapan Dasar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berlangsung sebentar tadi.

Usul itu didakwa dibuat oleh seorang perwakilan Kelantan.

“Ada orang cadang tapi tidaklah sampai lapanĀ  perwakilan yang cadang tapi yang mula-mula sekali cadang keluar daripada Kelantan.

“Ini cadangan daripada orang lama daripada parti. Armada ini baru nak ucap,” katanya kepada media.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Zahid Mat Arip berkata, sebarang kenyataan mengenai usul itu akan hanya dibuat setiausaha agung parti, Senator Datuk Marzuki Yahya.

“Kenyataan akan dibuat oleh Setiausaha Agung Bersatu,” katanya ketika ditanya media di perkarangan Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Dalam kenyataan sebelum ini, Pengerusi Bersatu, Mahathir berkata, beliau hanya akan memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun sahaja dan akan menyerahkan jawatan tersebut kepada penggantinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR.

Pada September lalu, Mahathir berjanji akan menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Mahathir berkata demikian bagi menjawab satu soalan pada Forum Tahunan Kedua Perniagaan Global Bloomerg yang dikendalikan wartawan, Fareed Zakaria di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini. – MalaysiaGazette