SEREMBAN – Pengguna lebuh raya dinasihati tidak perlu panik kerana bekalan diesel dan petrol di seluruh negara mencukupi susulan pemeriksaan ke atas 1,757 stesen minyak setakat semalam, mendapati stok minyak tidak akan kering.

Ketua Seksyen Bekalan Harga Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya Abd Hafidz A Rahim berkata seramai 2,300 pegawai penguat kuasa terlibat dalam operasi pemeriksaan stesen minyak yang bermula 26 Dis lepas hingga Ahad ini.

“Kami beri jaminan bekalan petrol dan diesel terutama di Lebuhraya PLUS dan lebuh raya Karak serta jalan utama di seluruh negara mencukupi.

“KPDNHEP juga memberi amaran supaya stesen minyak jangan kehabisan bekalan untuk pengguna dan pastikan bekalan sentiasa ada dan dijual pada harga yang ditetap kerajaan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata stesen minyak yang didapati dengan sengaja tidak menjual petrol dan diesel atau menutup stesen minyak tanpa kebenaran KPDNHEP akan diambil tindakan.

“Jika perniagaan stesen minyak terputus bekalan atau ‘stock out’, ia merupakan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana melanggar atau tidak mematuhi syarat-syarat sesuatu lesen.

“Pengusaha stesen yang gagal memastikan bekalan mencukupi boleh dikenakan denda di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Abd Hafidz berkata di bawah akta tersebut, sekiranya didapati bersalah, individu boleh didenda maksima RM1 juta atau penjara maksima tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya, boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak lebih RM2 juta dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda tidak melebihi RM5 juta.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan berkala di kesemua 3,682 stesen minyak seluruh negara termasuk yang tidak berjenama seperti yang ada di Sabah dan Sarawak.

“Semua pengusaha minyak yang dah diperiksa memberi kerjasama yang amat baik kepada pihak kami dan mereka juga akan memastikan bekalan minyak sentiasa ada dan mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan Zubir Hamsa berkata setakat semalam, sebanyak 43 stesen minyak telah diperiksa di negeri ini dan tiada stesen minyak yang dikesan mengalami masalah bekalan.

“Setakat hari ini, tiada sebarang aduan atau pemakluman berkaitan stesen minyak yang kehabisan bekalan atau mengalami ‘stock out’ yang diterima oleh Pejabat KPDNHEP negeri.

“Semua pengusaha stesen minyak diberi peringatan supaya mengawal selia bekalan petrol dan diesel agar sentiasa ada dan mencukupi untuk jualan harian seperti yang dinyatakan dalam syarat-syarat lesen,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia menyuarakan kebimbangan pengguna berdepan masalah bekalan petrol dan diesel apabila tangki simpanan di stesen minyak dijangka kering pada 1 Jan ini.

Situasi itu dilaporkan berpunca daripada pengusaha stesen minyak tidak mahu menambah simpanan pada harga mahal namun dijual pada harga murah susulan pengumuman bahawa kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk petrol RON 95 pada harga lebih rendah bermula 1 Jan ini.- BERNAMA