Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bergambar berlatarbelakangkan arca Putrajaya pada Majlis Perasmian Arca Bertulisan Putrajaya di Dataran Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 31 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan sebuah arca tulisan ‘Putrajaya’ yang ditempatkan di Dataran Putra.

Arca tersebut merupakan mercu tanda baharu yang merupakan manifestasi keutuhan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan sejak dibangunkan pada 1995.

“Signifikan arca ini adalah di sinilah pertama kali Putrajaya dibangunkan di tapak ini,” kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim kepada pemberita selepas pelancaran.

Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melihat arca Putrajaya pada Majlis Perasmian Arca Bertulisan Putrajaya di Dataran Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 31 DISEMBER 2018

Reka bentuknya diinspirasikan oleh kumpulan pegawai-pegawai pemuda PPj dalam masa sebulan bagi mewujudkan satu tanda Putrajaya yang dalam masa yang sama akan menarik pelancong.

Justeru itu ia diletakkan di tengah-tengah kawsan tarikan di Putrajaya.

Struktur arca stainless steel ini dikukuhkan dengan asas tapak berkelebaran 1.5 meter dan ketinggian 2.4 meter dan panjang keseluruhan adalah 22 meter.

Menurut Aminuddin, arca yang direka bentuk dengan imej abstrak berwarna warni harmoni ini mengekspresikan kegembiraan dan antara keunikan arca ini adalah paparan imej grafik yang bertukar mengikut tema.

“Warna warni vektor simboliknya adalah keharmonian komuniti, menggambarkan warna warni pelbagai kaum, bangsa dan pembangunan,” tambahnya.

MGF31122018_ARCA PUTRAJAYA03
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bergambar bersama kakitangan Perbadanan Putrajaya pada Majlis Perasmian Arca Bertulisan Putrajaya di Dataran Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 31 DISEMBER 2018

Dalam pada itu Presiden PPj berkata, selain arca tulisan ini, PPj akan terus berusaha untuk memperindahkan Putrajaya termasuklah rancangan untuk memberi keindahan lampu di sekitarnya.

Rancangan lain oleh perbadanan itu pada tahun depan ujarnya program-program komuniti yang melibatkan golongan belia termasuklah warga emas.

“Ini projek Putrajaya 360 kita akan buat banyak lagi program kita bukan sahaja akan menekankan pembangunan prasarana akan banyak cuba berkomunikasi dengan komuniti untuk banyakkan program dengan mereka dan saya telah berjumpa dengan banyak kumpulan komuniti banyak respon antaranya yang diharapkan kita melibatkan warga emas.

“Kita juga akan adakan Youth Centre By Youth pusat belia yang dibangunkan dengan idea belia sendiri,” ujarnya. -MalaysiaGazette