Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar akan terus menjadi suara kepada rakyat dalam pelbagai isu meskipun dirinya berdepan dengan risiko kritikan.

Presiden PKR itu berkata, rakyat Malaysia merupakan aset terpenting dalam negara dan warganya yang pluralistik akan terus mendukung antara satu sama meskipun terpaksa melalui cabaran pada masa mendatang.

Beliau yang juga ahli Parlimen Port Dickson menegaskan,  Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi kerajaan memerintah seharusnya fokus dan mendepani masalah-masalah yang dihadapi rakyat secara bersama.

“Kita kini hidup di era yang sarat dengan perkara-perkara baharu. Menyesuaikan diri dalam era ini ternyata memerlukan kemahiran dan perubahan.

“Saya kini sedang meneliti dasar-dasar terkait dunia digital yang dapat membantu rakyat di Port Dickson, termasuk dasar-dasar yang boleh dilaksana yang akan memastikan Malaysia kekal relevan dalam arus ekonomi dunia dan juga yang dapat membantu kita mendepani masalah perubahan iklim dan masalah penuaan dalam kalangan rakyat,” kata beliau menerusi perutusan tahun baru 2019 di Facebook.

Dalam pada itu Anwar berkata, kerajaan yang ditukar oleh rakyat hari ini adalah sebuah pakatan yang saling memaafi dan melupakan perseteruan demi Malaysia yang lebih baik.

Ujarnya, beliau memulakan tahun baru 2019 dalam keadaan yang cukup berbeza berbanding tahun lepas dan sebelum-sebelumnya.

Kata beliau, rakyat kini sedang menilai sejauh mana pencapaian PH dalam tempoh lapan bulan lalu serta menantikan 2019 dengan penuh cabaran.

“Peristiwa 9 Mei ternyata saat yang bersejarah buat semua. Rakyat bersatu hati menjalankan tanggungjawab mereka dengan meruntuh sistem lama yang korup dan bobrok untuk sekian lama.

“Peralihan kuasa yang berjalan dalam keadaan aman itu adalah cerminan kematangan warga kita, tahap profesionalisme kakitangan-kakitangan awam dan semangat patriotisme tanpa berbelah bahagi pasukan keselamatan kita.

“Ini ternyata sesuatu yang membanggakan buat semua. Jarang-jarang sekali berlaku dalam konteks politik dunia. Kita tidak harus cepat berpuas hati, malah kita harus berwaspada dengan tangan-tangan yang mahu mencurangi agenda reformasi yang didambakan rakyat,” kata beliau. – MalaysiaGazette