KUALA LUMPUR – Seorang pekerja wanita warga Indonesia ditemui mati dibunuh di bilik asrama pekerja di Jalan Reko, Kajang.
Penemuan mayat wanita yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai perabot itu sekali gus merungkaikan tanda tanya selepas dia tidak datang kerja sejak tiga hari lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, mayat wanita separuh bogel itu ditemui oleh majikannya.
Katanya, mayat wanita yang berusia 30an itu ditemui kira-kira pukul 6.24 petang semalam.
:Kami menerima panggilan daripada lelaki yang merupakan majikannya yang memaklumkan mangsa tidak datang bekerja sejak tiga hari lalu sebelum dia membuat pemeriksaan di tempat tinggal wanita berkenaan.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan kedua-dua tangannya diikat menggunakan kain, selain mulut disumbat dengan kain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Kali terakhir mangsa dilihat pada hari Khamis lalu, kira-kira pukul 9 malam.
Mohd Sabri berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian di bilik pekerja berkenaan yang terletak berhampiran dengan tempat kerjanya.
Siasatan yang dijalankan turut mendapati pasport mangsa hilang.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat yang akan dilakukan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan edang giat dijalankan untuk mengenal pasti suspek.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Ismail Ahmad di talian 019 2306107. – MalaysiaGazette















