Mohd Rashidi Abdul Razak
Mohd Rashidi Abdul Razak

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan perlu menguatkuasakan undang-undang lebih tegas dalam menangani masalah pembuangan sampah pada majlis atau program besar seperti sambutan ambang tahun baharu.

Jika tiada undang-undang dikuatkuasakan, ia akan meletakkan bandaraya Kuala Lumpur dalam keadaan terdedah dengan sampah sarap yang berpunca daripada sikap rakyat negara ini, termasuk pendatang asing.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Mohd Rashidi Abdul Razak, seperti sambutan ambang tahun baru di ibu kota malam semalam telah dicemari dengan longgokan sampah sarap yang dibuang pengunjung.

Jelas beliau, perbuatan itu amat memalukan kerana Kuala Lumpur adalah mercu tanda Malaysia yang sepatutnya dijadikan bandar contoh kepada negeri lain dan di peringkat antabangsa amnya.

Katanya, video dan gambar yang tular di media sosial juga turut mencemarkan sedikit sebanyak pemandangan bandaraya Kuala Lumpur.

“Kita percaya sampah itu berpunca daripada sikap rakyat kita dan disumbang pula oleh pendatang asing yang turut bersama menyambut ambang tahun baru pada malam itu.

“Oleh itu, kementerian perlu ada polisi berhubung kebersihan dan pembuangan sampah yang perlu diperketatkan dan dipantau dengan tegas oleh penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Mohd Rashidi menggesa kementerian berkenaan memastikan isu longgokan sampah tidak lagi berulang lagi pada masa akan datang.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) harus memantau dengan tegas setiap aktiviti dan program yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur selepas ini.

Jelas beliau, himpunan ICERD yang diadakan pada 8 Disember lalu boleh dijadikan contoh terbaik apabila peserta membawa plastik sampah dari rumah dan bergotong royong mengutip sampah selepas perhimpunan tamat.

Ini katanya, adalah budaya baru rakyat Malaysia yang sepatutnya diketengahkan oleh kerajaan apabila sesuatu program dilaksanakan, aktiviti mengutip sampah dijadikan sebagai salah satu dalam senarai aktiviti program.

“Kita inginkan Kuala Lumpur sebuah bandar bersih dan menjadi contoh kepada dunia, sekali gus nilai-nilai Islam dapat diterapkan kepada masyarakat di bandaraya ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast