KUALA LUMPUR – Perairan Pantai Timur antara kawasan berisiko tinggi dilanda angin kencang susulan laluan ribut Tropika Pabuk di kawasan berkenaan bermula hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Alui Bahari berkata, kedudukan terkini ribut itu kini di Latitud 6.1 Utara dan Longitud 108.0 Timur kira-kira 545 kilometer (km) ke Tenggara Ho Chi Minh City, Vietnam.

“Ribut Tropika Pabuk kini dijangka bergerak 15 kilometer sejam (kmsj) ke arah barat dan boleh menyebabkan hujan lebat dan angin kencang melebihi 50 kmsj.

“Ia juga boleh mengakibatkan laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 3.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, jarak ribut berkenaan agak jauh dari pesisir pantai iaitu 612 kilometer (km) dari Kuala Terengganu dan 697 km bagi Kota Bharu.

“Angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya.

Keadaan itu turut disertai Amaran Angin Kencang yang boleh melebihi 60kmsj di mana ombak boleh mencapai ketinggian melebihi 4.5 meter di kawasan perairan Laut China Selatan sepanjang timur Semenanjung Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan barat Sabah sehingga 5 Januari ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini Ribut Tropika Pabuk yang dikemas kini setiap tiga jam di laman sesawang JMM dan aplikasi my Cuaca. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast