Datuk Omar Sidek
Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan Tenaga Nasional Berhad, Datuk Omar Sidek pada Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain-pemain Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan TNB Thunderbolts sempena Kejohanan TNB/MHL 2019 di Kompleks Sukan Tenaga Nasional Berhad, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 JANUARI 2019

KUALA LUMPURĀ – Pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengadakan perbincangan mengenai penajaan sukan hoki tidak lama lagi memandangkan tajaan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan berakhir tahun ini.

Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek berkata, penajaan itu penting bagi pihaknya kerana segala keputusan akan dimaklumkan kelak dapat menyumbang mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

“Perkara ini kita akan bincang di peringkat Lembaga Pengarah dan pengurusan TNB dan apa juga keputusan kita akan maklumkan kemudian.

“Pihak MHC telah memberikan kerjasama cukup baik memberi peluang kepada kita sebagai rakan penaja strategik.

“Kita melihat sumbangan kita kepada hoki adalah satu usaha yang boleh mengangkat nama Malaysia di persada kelas dunia.

“Sukan-sukan lain walaupun popular, tetapi untuk sampai ke peringkat Olimpik dan peringkat dunia agak susah sikit tetapi hoki itu peluang itu agak tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tajaan TNB kepada MHC dan Pengenalan Pasukan Hoki TNB2019 di Kompleks Sukan TNB Bangsar, di sini, hari ini.

TNB hari ini menyerahkan baki penajaan kejohanan-kejohanan hoki anjuran MHC berjumlah RM4 juta.

Bayaran tajaan itu merupakan baki daripada RM20 juta untuk tempoh lima tahun sejak 2015.

Selvendran Sravanamuthu
Wakil Konfederasi Hoki Malaysia Tahun 2019, Selvendran Sravanamuthu pada Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain-pemain Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan TNB Thunderbolts sempena Kejohanan TNB/MHL 2019 di Kompleks Sukan Tenaga Nasional Berhad, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 JANUARI 2019

Sementara itu, Bendahari MHC, Selvendran Saravanamuthu berkata, pihaknya mempunyai hubungan cukup baik dengan TNB sepanjang lima tahun menjadi penaja strategik kepada pasukan hoki di bawah kelolaannya.

“Kerjasama MHC dengan TNB sudah lama dan kita hanya meneruskan proses itu dan TNB memang cukup rapat dengan MHC, tiada isu yang timbul.

“Kita sangat berterima kasih kepada tajaan hari ini, saya fikir pasukan kebangsaan dan program kerajaan yang disediakan oleh TNB sangat menakjubkan untuk menyokong MHC.

“MHC telah ambil tindakan (tajaan bakal berakhir) presiden dan ahli eksekutif akan berbincang dengan ahli tertinggi TNB untuk lihat ke depan apa pelan seterusnya pada masa depan mengenai tajaan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette