KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menyerahkan baki penajaan kejohanan-kejohanan hoki anjuran Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berjumlah RM4 juta.
Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek berkata, ia merupakan baki tajaan daripada RM20 juta untuk tempoh lima tahun sejak 2015.
“Sejak 2006, TNB telah menaja sukan hoki dan ini merupakan kesinambungan usaha dalam melahirkan pemain hoki bertaraf dunia.
“Kita telah membuat satu perancangan strategik di mana kita menjadi rakan penaja kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) khususnya dalam sukan hoki.
“Kita bersetuju untuk menaja setiap tahun sebanyak RM4 juta selama lima tahun.
“Tajaan ini bermula sejak 2015 sehingga ke hari ini 2019 kita telah menyumbang sebanyak RM20 juta kepada MHC,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Tajaan TNB kepada MHC dan Pengenalan Pasukan Hoki TNB2019 di Kompleks Sukan TNB Bangsar, hari ini.
Omar juga berkata, kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia Premier (TNB-MHL) yang akan bermula minggu ini akan menjadi kayu pengukur kepada mereka sebelum melangkah ke kejohanan Sukan Olimpik 2020 di Jepun.
“Pasukan TNB ini kita percaya kepada projek pembangunan kita kerana itu kita masih lagi mengekalkan 100 peratus anak tempatan.
“Saya yakin dan percaya kalau kita boleh mewakili pasukan kebangsaan, kita boleh mengalahkan pasukan lain walaupun mereka ada di luar sana, hoki bukan sukan sepopular sukan bola sepak.
“Tetapi sukan hoki antara sukan hoki boleh menempatkan Malaysia khususnya di persada kelas dunia.
“Saya difahamkan kita dalam kelompok ke-13 terbaik dunia untuk itu melangkah ke Sukan Olimpik bukan sesuatu yang mustahil. Apa pun kita yakin dan percaya usaha sedang dibuat oleh pihak MHC untuk memastikan kita layak ke peringkat Olimpik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















