Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kiri) diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) beramah mesra dengan orang ramai pada Program Restoran Tanpa Asap Rokok di Restoran Al Nazmaju, Presint 9, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 JANUARI 2018
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan memperkenalkan ruang khas untuk perokok di luar kawasan larangan merokok seperti mana yang banyak disediakan di negara-negara maju.
Bagaimanapun, pandangan masyarakat akan diperoleh terlebih dahulu sebelum cadangan seumpama itu boleh dilaksanakan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebarang penambahbaikan terhadap kempen larangan merokok di premis makan akan diambil kira selepas tempoh enam bulan kempen tersebut djalankan.
“Selepas itu kita akan mempertimbangkan segala cadangan melibatkan penambahbaikan kempen ini selain penyediaan kawasan khas merokok dengan memerhatikan hak perokok juga.
“Kita tidak halang mereka tetapi mahukan mereka mengambil serius peraturan larangan yang dikuatkuasakan kami,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Tanpa Asap Rokok, Tembakau di Presint 9 di sini.
Turut hadir timbalannya, Dr. Lee Boon Chye dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin.
Dr Dzulkefly ditanya sama ada Malaysia akan mencontohi negara maju seperti Jepun dan Korea yang menyediakan ruang khas untuk perokok di luar kawasan larangan merokok.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, sejak dua hari lepas seramai 1,559 pegawai penguatkuasa terlibat dalam kempen berkenaan dan 5746 premis makanan didekati dengan 2,500 notis amaran dikenakan manakala 14,237 risalah berbentuk pendidikan larangan merokok di keluarkan.
Katanya, penguatkuasaan kempen tersebut bukan hangat-hangat tahi ayam sebaliknya akan diteruskan sebagai budaya hidup sepanjang masa.
“Bagi kami KKM dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sangat penting untuk memastikan ini bukan sekadar kempen sahaja tetapi ia menjadi budaya harian kita.
“Ia adalah cara hidup dan kebudayaan untuk terus mara ke hadapan dengan disiplin yang sihat sejahtera.
“Yang pasti saya menjamin ini bukan one off atau bermusim..ia akan dikuatkuasakan sepanjang tahun kehidupan kita, 24 jam,” katanya.
KKM menyediakan talian hotline 0108608949 bagi membolehkan pengadu meninggalkan mesej beserta gambar rakaman mana mana individu atau premis makanan yang melanggar peraturan itu. – MalaysiaGazette