Pelajar yang ditawarkan ke sekolah agama kerajaan perlu dikenakan pemeriksaan kesihatan yang dicajkan sebanyak RM100.
Pelajar yang ditawarkan ke sekolah agama kerajaan perlu dikenakan pemeriksaan kesihatan yang dicajkan sebanyak RM100.

KUALA LUMPUR – Seorang bapa tidak berpuas hati apabila anaknya yang akan masuk ke sekolah agama kerajaan dikenakan caj pemeriksaan kesihatan sehingga RM100.

Beliau yang mahu dikenali dengan nama Abu Ubaid memberitahu, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan sepatutnya menyelaraskan mana-mana sekolah berasrama penuh termasuk sekolah agama dikecualikan daripada pembayaran itu.

Menurutnya, bayaran RM100 dikenakan untuk pakej asas seperti pemeriksaan fizikal, x-ray dan urine feme.

“Saya mohon jasa baik mana-mana Ahli Parlimen tidak mengira pro kerajaan atau pembangkang untuk melihat perkara ini dengan lebih serius.

“Tidakkah kalian melihat ia satu bebanan kepada rakyat apabila dipaksa membayar caj perkhidmatan yang disediakan untuk anak yang masih dikategorikan sebagai pelajar,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Menurut Abu Ubaid, kenapa pelajar ke sekolah agama kerajaan tidak dikecualikan daripada membayar caj pemeriksaan kesihatan seperti pelajar lain yang ditawarkan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

Katanya, caj itu tentu membebankan mereka terutama dari keluarga miskin yang memerlukan kos tinggi untuk menyediakan peralatan persekolahan anak.

Beliau menuntut kerajaan atau Kementerian Pendidikan mengkaji semula caj pemeriksaan kesihatan yang dikenakan Kementerian Kesihatan ke atas pelajar berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast