Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 04 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad menyifatkan pergolakan yang berlaku dalam parti-parti gabungan Pakatan Harapan merupakan satu ujian bagi mengukur sejauh mana kekuatan parti itu dan pakatan tersebut.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang terlibat dalam politik pasti akan berdepan dengan pelbagai rintangan dan kesukaran.

“Kita nak harapkan bahawa semua tenang memang tak mungkinlah dalam politik.

“Kata- kata orang bijaksana, kalau takut dilambung ombak jangan buat rumah di tepi pantai.

“Jadi, kalau tak nak ada masalah jangan masuk politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan akhbar Wilayahku terbitan Kelab Sukan dan Kebajikan Yayasan Wilayah Persekutuan di kementeriannya, di sini hari ini.

Khalid diminta mengulas kemungkinan pergolakan yang berlaku membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dilihat mampu menjejaskan pakatan itu.

Selain PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan parti gabungan dalam Pakatan Harapan didakwa turut menghadapi kemelut dalaman.

Bagaimanapun, Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan enggan mengulas dengan lanjut mengenai perkara berkenaan. – MalaysiaGazette