KUALA LUMPUR – Dakwaan sebuah akhbar arus perdana kononnya Melaka disasar sebagai hab pengeluar telur serantau, adalah tidak tepat.
Sebaliknya, menurut Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Alyaa Azhar, Melaka adalah sebagai hab pengeluar telur Malaysia.
Katanya, Menteri, Datuk Salahuddin Ayub juga tidak pernah menyebut Melaka mengeluarkan telur ayam sebanyak 2.86 bilion biji setahun, kerana itu adalah kenyataan dari Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.
Dalam sidang media di Pejabat Ketua Menteri Melaka semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Salahuddin Ayub tidak menyebut tentang potensi Melaka sebagai hab pengeluar telur serantau tetapi menyebut tentang Melaka sebagai hab pengeluar telur Malaysia.
“Menteri tidak menyebut mengenai pengeluaran telur ayam Melaka sebanyak 2.86 bilion biji telur setahun. Angka tersebut telah disebutkan oleh Ketua Menteri Melaka.
“Salahuddin juga hanya menyebut akan berbincang dengan pihak Agrobank untuk membantu nelayan yang menggunakan lesen kelas A untuk menceburi sektor akuakultur, bukan bagi membantu golongan penternak ruminan,” katanya dalam kenyataan balas kepada media di sini, hari ini.
Menurut Alyaa, pihaknya telah menghubungi akhbar berkenaan termasuk versi atas talian sudah diperbetulkan, tetapi dimaklumkan versi yang tidak tepat itu telah digunakan untuk dicetak.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai merujuk laporan berita versi atas talian kerana ia sudah diperbetulkan. – MalaysiaGazette
















