Datuk A. Kadir Jasin
A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Ahli Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk A. Kadir Jasin hari ini mengimbau sejarah nasib beberapa timbalan perdana menteri di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurutnya, dalam sejarah itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dikatakan pilihan terbaik Mahathir menjadi penggantinya.

“Anwar adalah pilihan Mahathir. Tidak sampai setahun menjadi PM beliau membawa Anwar masuk UMNO dan dalam masa tidak sampai sebulan mencalonkan beliau sebagai wakil Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) 1982.

“Beliau berjaya merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh daripada penyandang Pas, Almarhum Yusof Rawa,” katanya dalam blognya hari ini.

Mengalu-alukan kemenangan Anwar, kata Kadir, Mahathir menyifatkan Anwar sebagai anak ayam baru tumbuh bulu pahat tetapi sudah diterima oleh rakyat jelata sehingga mampu mengalahkan Yusof Rawa.

Yusuf Rawa, bapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Dr. Mujahid adalah gergasi politik ketika itu.

“Pada PRU 1969 beliau (Yusuf) menewaskan Mahathir di Kota Setar Selatan (sekarang Pendang).

“Anwar naik mencacak. Dalam masa 11 tahun beliau naik daripada anak ayam berbulu pahat kepada Timbalan Perdana Menteri dan bakal pengganti Mahathir.

“Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah dan kita sering diingatkan melalui hujah ahli falsafah George Santayana bahawa orang yang lupa (kejadian) masa lampau akan mengulangi kesilapannya.

“Jadi, marilah kita belajar daripada sejarah,” ujar bekas veteran media itu.

Ulasan Kadir merujuk kepada kekecohan isu pemilihan Anwar menggantikan Mahathir sejak kebelakangan ini.

Terdahulu, Kadir menceritakan kisah Mahathir yang sering berkata beliau tidak pandai memilih pengganti.

“Malah dalam ucapan 30 Disember lepas ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Putrajaya beliau mengulangi hal yang sama.

“Saya tidak mahu mempersoalkan sama ada beliau bersungguh-sungguh atau berseloroh apabila membuat kenyataan itu,” katanya.

Sebaliknya, Kadir berpendapat Mahathir mematuhi peraturan di dalam memilih pengganti atau bakal pengganti.

Apa yang berlaku kepada pengganti atau bakal pengganti lebih berupa masalah dan pilihan mereka sendiri, ujarnya.

“Daripada pengamatan saya, Mahathir sentiasa dipandu oleh kehendak dan keputusan parti di dalam membuat pilihan pengganti dan bakal pengganti.

“Atas alasan itulah beliau membawa masuk semula dan memberikan jawatan kepada banyak orang yang menentang beliau dalam parti dan kerajaan,” katanya lagi.

Sebagai ‘orang lama’, beliau juga mengulas kisah yang berlaku kepada timbalan-timbalan Mahathir dahulu seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Musa Hitam dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba dalam blognya.- MalaysiaGazette