Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis APC KPDNHEP di Dewan Sri Siantan, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 07 JANUARI 2018

PUTRAJAYA – Semua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk pemimpin tertinggi perlu mengunakan platform sedia ada dalam parti sebagai saluran berbanding memberi kenyataan secara terbuka.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai sebuah pertubuhan, proses membuat keputusan dan dasar sangat jelas dalam PKR.

Jelas beliau yang Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, pelbagai platform disediakan antaranya kongres tahunan, mesyuarat pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik parti selain pekeliling setiausaha agung dari semasa ke semasa.

“Jadi semua platform itu adalah platform yang tersedia untuk parti sama ada ahli biasa atau pun pimpinan Pusat, negeri atau cabang boleh manfaatkan untuk menyampaikan keluhan, rungutan dan sebagainya.

“Oleh itu, saya berpendapat bahawa sebagai sebuah parti reformasi, PKR yang sifatnya dinamik, ia membuka ruang seluas-luasnya kepada pimpinan dan anggota parti supaya memanfaatkan setiap platform pembuat keputusan dalam parti.

“Dalam kongres kita sediakan, dalam MPP kita sediakan, mesyuarat mingguan biro politik kita buka peluang dan berdasarkan ruang yang kita buka, adalah lebih molek, tertib dan cantik jika saluran-saluran parti yang tersedia boleh dimanfaatkan,” katanya .

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan  Cemerlang (APC) kementeriannya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali semalam yang mempertahankan bantahan terbukanya berhubung pelantikan parti yang dibuat Presiden PKR Anwar Ibrahim dengan menyifatkan bahawa ada isu tertentu yang memerlukan kenyataan terbuka.

Jelas Mohamed Azmin, tindakannya itu tidak bererti beliau tidak peduli dengan saluran yang disediakan parti bagi menyatakan pandangan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi juga menegaskan sudah berjumpa Anwar beberapa kali sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan. – MalaysiaGazette