Ikmal Hazlan Ikmal Hisham (kanan)

KUALA LUMPUR – “Kita kesal dengan sikap pihak Cisco kerana kita datang dengan cara baik. Bukannya kita datang untuk buat kecoh. Sebab itu Pemuda UMNO Malaysia hanya datang dua orang sahaja.

“Anda semua boleh lihat tadi bagaimana mereka bermain tarik tali.. rupanya mereka memanggil polis bantuan untuk menghalau kita. Namun saya berterima kasih kepada seorang lagi wakil Cisco yang akhirnya menggunakan cara diplomasi dan menerima memorandum ini,” ujar Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.

Hari ini beliau mewakili sayap UMNO Malaysia bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Bagaimanapun, proses penyerahan memorandum kepada pihak Cisco System bagi menggesa syarikat itu mengambil tindakan tegas terhadap pekerja mereka yang menghina bekas Sultan Kelantan bertukar kecoh, lapor MediaUmno hari ini.

Ini terjadi apabila wakil pihak Cisco cuba ‘main tarik tali’ enggan menerima memorandum tersebut sehinggakan proses yang sepatutnya selesai dalam tempoh lima minit berlanjutan sehingga 45 minit.

Jelas beliau, penyerahan memorandum itu untuk menggesa syarikat terbabit mengambil tindakan tegas kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh pekerja mereka iaitu Eric Liew kerana menghina bekas Yang Dipertuan Agong di media sosial.

“Tindakan Eric ini adalah biadap dan tidak menjaga sensitiviti rakyat negara ini. Kita mahu perkara ini menjadi pengajaran kepada rakyat negara ini untuk menghormati perlebagaan dan rukun negara.

“Sekiranya tindakan tidak diambil dalam masa terdekat maka Pemuda akan terus menggesa dan mendesak,” ujar beliau lagi.

Difahamkan, Eric telah memuatnaik kenyataan maaf berhubung perkara itu selepas tular di media sosial semalam.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Why is UMNO acting strongly only to someone who later regret and asked to be forgiven but remain silent to a far bigger issue at hand, involving The Country Image & Integrity?

Comments are closed.