KUALA LUMPUR – Individu yang menghina bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menerusi laman Facebooknya tidak lagi bersama dengan Cisco ASEAN.

Berikutan komen biadap Eric Liew itu, laman Facebook dan akaun Twitter Cisco ASEAN dihujani dengan komen negatif individu dan syarikat tersebut menyebabkan siasatan dilakukan.

Cisco ASEAN berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh kakitangannya itu adalah atas kapasiti sendiri dan ia tidak mewakili pandangan syarikat berkenaan.

“Kakitangan itu juga telah memohon maaf dan tidak lagi bersama syarikat,” kata Cisco ASEAN yang memohon maaf dalam laman Facebook sambil menambah ia kesal dengan kesulitan yang dialami disebabkan kenyataan itu.

Semalam, ratusan netizen mengecam dan mendesak Cisco ASEAN memecat Eric kerana biadab menghina Sultan Muhammad V.

Rata-rata mereka mahu pengurusan syarikat itu mengambil tindakan tegas ke atasnya kerana rakyat Malaysia tidak dapat menerima penghinaan terhadap raja mereka.

Hasil layaran MalaysiaGazette ke akaun Facebook Cisco ASEAN juga mendapati kemarahan netizen terhadap syarikat semakin membuak sehingga ada yang mengancam hendak memboikot produk keluaran syarikat berkenaan jika tiada sebarang tindakan diambil ke atas Eric.

Cisco ASEAN berkata, syarikat itu percaya terhadap amalan menghormati tradisi dan undang-undang Malaysia. – MalaysiaGazette