Pesawat Lion Air disahkan berkecai akibat hentaman kuat selepas terhempas di permukaan laut di perairan Tanjung Karawang pada 29 Okt lepas.
Pesawat Lion Air disahkan berkecai akibat hentaman kuat selepas terhempas di permukaan laut di perairan Tanjung Karawang pada 29 Okt lepas.

JAKARTA – Indonesia akan melancarkan misi mencari perakam suara kokpit pesawat Lion Air yang terhempas di Laut Jawa seawal hari ini, kata ketua agensi penyiasatan kemalangan itu.

“Jika keadaan cuaca baik, kapal akan mula belayar hari ini,” kata Ketua Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT), Soerjanto Tjahjono kepada Reuters.

Ia merupakan kemalangan pertama membabitkan pesawat Boeing, B737 MAX yang menyaksikan 189 orang terbunuh.

Pada minggu lalu, para penyiasat berkata, mereka merancang menggunakan kapal tentera laut untuk melakukan pencarian baharu kotak hitam kedua pesawat yang terhempas itu selepas usaha yang dibiayai Lion Air selama 10 hari gagal menemui rakaman suara kokpit (VCR).

Sumber KNKT yang tidak mahu dikenali memberitahu Reuters bahawa pasukan itu mempunyai masa selama tujuh hari untuk menggunakan kapal KRI Spica bagi mencari CVR, yang boleh memberi petunjuk kepada para penyiasat tindakan juruterbang.

Tjahjono enggan mengulas samada terdapat jangka masa yang diperuntukan dalam pencarian tersebut.

Pesawat tersebut terputus hubungan selepas 13 minit berlepas dari Jakarta pada 29 Oktober lalu menuju bandar perlombongan bijih timah, Pangkal Pinang.

Sebuah lagi kotak hitam, perakam data penerbangan, ditemui tiga hari selepas kejadian. – Agensi