Najib Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dakwa mewarisi kerajaan Malaysia yang bankrap tetapi dalam masa yang sama memuji kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa pemerintahan saya, kata Datuk Seri Najib Razak.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tiba-tiba mengeluarkan kenyataan hari ini memuji kerajaan BN.

“Kata strategi kita baik, Kita di landasan yang betul. Kita berjaya. Kita tarik pelaburan swasta sebanyak RM1.9 trilion.

“Puji lagi bahawa perdagangan Malaysia cemerlang pada tahun 2017 apabila mencatat kadar pertumbuhan paling tinggi dalam tempoh 13 tahun.

“Biar betul. Pelik bin ajaib,” ujarnya dalam status yang dimuatnaik pagi ini.

Najib juga sempat menyindir pemimpin PH yang mendakwa memerlukan beberapa bulan sahaja untuk tarik pelaburan asing mencecah RM1.6 trilion daripada seorang pelabur sahaja untuk projek kereta nasional ketiga.

“Malangnya, menteri itu sudah konar baring. Pelaburan RM1.6 trilion sudah tak jadi. Yang tinggal hanya air liur,” katanya.- MalaysiaGazette