Mohd Zubil Mat Som memberi taklimat tentang rampasan dadah jenis syabu oleh APMM. foto Bernama

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis syabu seberat 23 kilogram yang dianggarkan bernilai RM3.4 juta oleh dua nelayan tempatan semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, tangkapan hasil daripada maklumat risikan berkenaan dilakukan di perairan Tanjung Rhu, Sepang dekat sini pada kira-kira pukul 7.30 pagi.

“Dalam operasi semalam, pihak APMM telah berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dinaiki oleh dua suspek berkenaan, keluar dalam keadaan mencurigakan dari Jeti Sungai Belankan, Tanjung Rhu.

“Menyedari diekori penguat kuasa APMM, suspek telah memecut laju bot mereka bagaimanapun berjaya ditahan pada kedudukan kira-kira 1.1 batu nautika dari Sungai Belankan, pemeriksaan ke atas bot berkenaan membawa kepada penemuan 22 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis syabu yang disorokkan di dalam sebuah tong ikan berwarna jingga,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Mohd Zubil, kedua-dua suspek berumur 27 dan 31 tahun itu turut bertindak agresif ketika cuba ditahan, dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Kata Mohd Zubil, siasatan awal pihaknya mendapati dadah yang dirampas itu mahu diseludup keluar untuk dijual ke negara jiran dipercayai Indonesia yang mana harga pasarannya mampu mencecah hampir tiga kali ganda daripada harga di pasaran tempatan.

“Kami percaya dua suspek ini akan bawa dadah ini sehingga ke perairan antarabangsa dan kemudian mereka akan pindahkan dadah ini ke sebuah bot yang lain untuk dibawa ke lokasi yang ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zubil berkata pihaknya akan berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia untuk menyiasat rangkaian sindiket dadah berkenaan di sana.

Mohd Zubil berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, tangkapan berkenaan menurutnya juga merupakan rampasan dadah terbesar APMM setakat ini. – MalaysiaGazette