PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Reman seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk Seri” yang disyaki terlibat dalam penjualan syiling emas menggunakan potret Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tanpa kebenaran disambung selama tiga hari, bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof semasa dihubungi berkata perintah tahanan reman terhadap suspek lelaki berusia 31 tahun itu dikeluarkan Majistret Humairah KM Haider.

Semalam, media melaporkan penahanan suspek pada malam Selasa, di sebuah restoran di Sri Gombak, Selangor ekoran aduan daripada Pegawai Penyelaras Keselamatan Tengku Abdullah atas titah baginda pada 28 Dis lepas.

Dalam tangkapan itu, polis merampas sebuah katalog penjualan syiling emas itu, sekeping syiling emas tertera potret Sultan Pahang dan Jata Pahang serta sekeping syiling emas tertera potret Pemangku Raja Pahang dan Jata Pahang.

Suspek didakwa membuat dua keping syiling emas itu bagi tujuan diserahkan kepada orang tengah supaya dapat dibawa menghadap Pemangku Raja Pahang bagi mendapat perkenan dan kebenaran.

Polis sebelum ini memperoleh perintah tahanan reman selama dua hari ke atas suspek daripada Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.

Mohd Wazir menambah penilaian polis mendapati kos pembuatan untuk sekeping syiling emas hanya RM8,000 namun suspek menjualnya dengan harga RM18,888.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA