Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

KUALA LUMPUR – Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan hukuman mati.

Katanya, kerajaan sepatutnya mendapatkan pandangan pelbagai pihak terlibat termasuk orang ramai mengenai cadangan itu sebelum membuat keputusan yang diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Oktober lalu.

Menurut beliau, sebagai orang Asia dan berada di negara yang berbilang kaum serta semuanya mempunyai jiwa dan perasaan, kerajaan tidak wajar mengambil keputusan bersendirian tanpa memikirkan perasaan ahli keluarga mangsa.

“Saya ada membaca keputusan itu dalam akhbar dan secara peribadi, saya terkilan dengan keputusan memansuhkan hukuman mati.

“Atas sebab-sebab peribadi juga saya memegang prinsip, ‘berani buat, berani tanggung’. Jadi, memansuhkan hukuman mati bukan keputusan yang baik,” katanya pada sidang media Isu Hukuman Mati di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru hari ini.

MGF15012019_PC Tan Sri Abdul Rahim_03
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor bercakap pada sidang media mengenai isu hukuman mati di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 JANUARI 2019

Sidang media itu anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Pada 13 November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dilaporkan berkata, Jemaah Menteri memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah 8 Akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Rahim berkata, keputusan yang dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu, turut merangkumi Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, dan Akta Angkatan Tentera 1972.

Turut dinyatakan ialah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Susulan daripada keputusan itu, jelas Liew, memorandum Jemaah Menteri telah diedarkan kepada semua kementerian berkaitan untuk mendapatkan ulasan dan pandangan orang awam mengenai keputusan itu.

Abdul Rahim tidak bersetuju kerana dapat menyelami bagaimana kesedihan yang ditanggung oleh ahli keluarga apabila sama ada anak, bapa, ibu, suami, isteri, adik beradik dan sanak saudara mati dibunuh, sedangkan pembunuh tidak dikenakan hukuman setimpal.

“Bagaimana perasaan ahli keluarga mangsa bunuh seperti Datuk Sosilawati, Datuk Anthony Kevin Morais, Muhammad Adib Mohd Kassim dan banyak lagi kes kematian akibat dibunuh.

“Pembunuh ini telah melalui perbicaraan yang panjang, dengan pelbagai bukti dikemukakan, dan apabila hakim menjatuhkan hukuman mati, tiba-tiba kerajaan memansuhkannya.

“Ada dua situasi dalam keputusan ini. Tentunya pembunuh dan ahli keluarganya gembira dengan keputusan itu, manakala mangsa dan ahli keluarganya bersedih dan menangis,” katanya.

Beliau meminta kerajaan mengkaji semula keputusan itu dan belum terlambat untuk berbuat demikian kerana belum dibawa ke Parlimen.

Abd Rahim turut kecewa dengan pertubuhan bukan kerajaan yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia, mengambil sikap berdiam diri dengan keputusan itu.

“Di mana keadilan?” soal beliau. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/19/eksklusif-hutang-nyawa-dibayar-nyawa-rita/