Osman Sapian
Menteri Besar Johor, Osman Sapian. foto IQBAL BASRI, 11 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Wisma Putra hari ini menolak kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang mendakwa beliau telah mendapat ‘restu’ secara tidak rasmi daripada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan timbalannya sebelum merancang untuk melawat pelabuhan Johor Bahru 9 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan di sini, Wisma Putra menegaskan, sebaik mendapat maklumat mengenai lawatan tersebut dari agensi penguatkuasa Malaysia, pegawai Wisma Putra atas nasihat menteri segera menghubungi pejabat menteri besar dan menyampaikan peringatan supaya tidak meneruskan perancangan tersebut.

Bagaimanapun, ketika dihubungi, menteri besar telah pun berada di atas kapal menuju ke pelabuhan Johor Bahru dan akibat daripada lawatan tersebut, pihak kementerian telah menerima Nota Diplomatik dari Singapura bertarikh 11 Januari membantah tindakan tersebut.

Bukan itu sahaja, Singapura juga telah bertindak memangguhkan Jawatankuasa Bersama bagi Iskandar Malaysia (JCIM) yang djadual pada Isnin, 14 Januari.

“Kementerian Luar berpandangan lawatan seumpama itu tidak bersesuaian selepas mesyuarat dua hala di antara kedua-dua menteri luar yang produktif dan konstruktif sehari sebelum lawatan tersebut.

“Pada 8 Januari kedua-dua menteri luar bersetuju untuk menubuhkan pasukan bertindak  yang akan mengkaji dan membincangkan perkara-perkara berkaitan pengurusan dan perundangan bagi mengendurkan keadaan dan menyediakan asas untuk rundingan selanjutnya,” kata Wisma Putra.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa PM biarkan MB Johor ‘dibuli’ Singapura?

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, di sebalik perkembangan terbaharu itu, pihaknya berhasrat untuk menumpukan usahanya bagi penubuhan pasukan bertindak dan menunggu untuk menjadi tuan rumah bagi mesyuarat pertama yang dijadual akhir bulan ini ke arah mengukuhkan hubungan dengan Singapura berasaskan kepada kesaksamaan dan saling menghormati.

Baru-baru ini, Osman menyangkal laporan beberapa portal berita dari Singapura, yang mendakwa beliau memasuki perairan negara itu semasa lawatannya ke kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura dekat sini pada Rabu.

Beliau berkata, lawatannya ke kawasan itu sekadar untuk melihat bagaimana pasukan keselamatan menjalankan tugas di perairan negara. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/11/mb-johor-sangkal-dakwaan-masuk-perairan-singapura/