KUALA LUMPUR – Kelab Vendor Perodua (KVP) menyambut baik komitmen Perodua untuk meningkatkan pembelian komponen sebanyak 20 peratus kepada RM6 bilion tahun ini daripada RM5 bilion tahun lalu walaupun Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hanya menjangkakan perkembangan jumlah industri keseluruhan (TIV) sebanyak 0.21 peratus pada tahun 2019.

Presiden KVP, Musa Zahidin Ahmad Zaidee berkata, komitmen ini akan mengukuhkan kedudukan vendor dan berharap dapat berkembang bersama dengan Perodua.

Komitmen Perodua itu diumumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad semasa pelancaran Perodua Aruz baru-baru ini.

Zainal berkata, 95 peratus daripada komponen Perodua Aruz adalah daripada pembekal tempatan.

Tambah Musa, ramai ahli KVP terlibat dalam pembangunan Perodua Aruz dan kini membekalkan komponen untuk model tersebut.

Menurut MAA, Perodua telah menjual 227,243 kenderaan pada tahun lalu, menguasai 38 peratus daripada TIV dan mencatat kenaikan 11peratus daripada 204,867 kenderaan yang dijual pada tahun lalu.

Musa berkata, KVP turut menghargai bimbingan dan bantuan yang Perodua telah diberikan kepada 138 ahlinya selama ini.

Antara bantuan itu termasuk penetapan syarat pembayaran yang lebih singkat kepada ahli-ahli yang terjejas akibat penurunan pembelian komponen mendadak yang bermula pada tahun 2014.

Selain itu, Perodua juga telah menambahbaik kecekapan kewangan pembekal dengan membeli peralatan pembuatan (tooling) secara terus daripada pengeluar antarabangsa.

Dengan pembelian ini, pihak pembekal tidak lagi dibebankan hutang daripada institusi kewangan semasa hendak membeli peralatan tersebut.

Selain bantuan kewangan yang diberikan oleh Perodua, Daihatsu Motor Company of Japan juga telah memainkan peranan penting dalam membantu pembekal tempatan dan baru-baru ini telah melantik sekurang-kurangnya dua pembekal
tempatan untuk menyertai rantaian bekalan globalnya. – MalaysiaGazette