Kerajaan akan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah kewangan yang membelenggu PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

SEREMBAN – Plus Malaysia Berhad (PLUS) akan mencadangkan kepada pihak kerajaan bagi pemasangan kamera had laju di Jambatan Pulau Pinang selain menambah kamera itu di kesemua lebuh raya kendalian PLUS.

Pengarah Urusannya Datuk Azman Ismail berkata pemasangan dan penambahan kamera had laju itu bagi mengurangkan kadar kemalangan di lebuh raya.

“Buat masa ini, Jambatan Pulau Pinang hanya mempunyai kamera litar tertutup (CCTV). Justeru dalam proposal (cadangan) yang telah kita buat sebelum ini untuk tambah pemasangan kamera had laju di lebuh raya kita, kita masukkan juga Jambatan Pulau Pinang sebagai tambahan untuk pemasangan kamera had laju,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Op Selamat 14 Tahun Baharu Cina di R&R Seremban arah utara, Seremban di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Mengulas lanjut, Azman berkata pemasangan kamera had laju itu bergantung kepada kebenaran daripada pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Azman berkata pihaknya juga akan melihat semula keperluan untuk mengurangkan kadar had laju dan ketinggian tembok di Jambatan Pulau Pinang bergantung kepada siasatan penuh kemalangan di Kilometer 4.0 di jambatan itu baru-baru ini.

“Semuanya bergantung kepada hasil siasatan penuh kemalangan di lokasi. Pada masa ini had kelajuan di jambatan tersebut ialah 80 kilometer sejam manakala tembok kita mengikut piawaian antarabangsa British Standard 5400 (BS 5400).

“Sama ada perlu dikurangkan had laju dan menambah ketinggian tembok bergantung kepada laporan penuh hasil siasatan kemalangan itu nanti,” katanya.

Azman berkata kadar kemalangan maut di Jambatan Pulau Pinang merekodkan penurunan sebanyak 54 peratus pada tahun 2018 berbanding 2017.

“Pada 2017 sebanyak 13 kes kemalangan maut direkodkan berbanding enam kes pada tahun lepas. Bagi kemalangan pula sebanyak empat peratus kadar penurunan iaitu daripada 345 kes kepada 332 kes,” katanya.

Ahad lepas, sebuah kenderaan utiliti sukan Mazda CX-5 dipercayai terhumban ke laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Vios di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, Georgetown, Pulau Pinang.

Kejadian kenderaan terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang Ahad lalu itu, merupakan insiden kelima berlaku di jambatan berkenaan dalam tempoh 2010 sehingga kini.

— BERNAMA