Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong penuh ketegasan Tun Dr. Mahathir Mohamad menghalang kehadiran atlet renang dari Israel untuk bertanding dalam Kejohanan Renang Wanita Para Dunia 2019 yang berlangsung di Sarawak.

Malah, pendirian konsisten Perdana Menteri menolak sebarang urusan dengan Israel juga tepat dan wajar dipuji.

Pendirian itu mencerminkan Malaysia tidak mengiktiraf, malah tidak berkompromi dengan jenayah dan kekejaman yang telah dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil, kekejaman yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin tidak boleh diterima dan bertentangan dengan norma kemanusiaan.

Katanya, statistik United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (UN OCHA) dari tahun 2000 hingga 2018 seramai 9,839 rakyat Palestin telah terbunuh disebabkan kekejaman Israel dan 2,172 daripadanya adalah kanak-kanak.

Selain itu, jelas beliau, dalam tempoh itu juga, seramai 101,558 rakyat Palestin cedera akibat konflik yang berlaku.

“Bukan sahaja membunuh dan mencederakan rakyat Palestin, malah Israel juga bertindak merampas tanah serta mencabuli United Nation Security Council Resolution 242 pada tahun 1967 mengenai sempadan negara yang telah dipersetujui sendiri oleh mereka.

“Di samping itu, Israel juga tidak pernah menghormati dan bertindak kejam terhadap Malaysia.

“Sudah pasti kita tidak boleh melupakan insiden serangan Israel terhadap kapal Mavi Marmara dan kapal Rachel Corrie pada 2010, kapal Zaytouna-Oliva dan Women’s Boat to Gaza pada 2016 serta kapal Al-Awda pada tahun 2018 yang menyebabkan rakyat Malaysia ditahan hanya kerana ingin menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Pada 10 Januari lalu, Tun Dr. Mahathir menegaskan, Putrajaya tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 dan Malaysia juga bersedia jika penganjur menarik balik hak penganjuran kejohanan tersebut jika mereka tidak berpuas hati dengan pendirian kerajaan.

Jelas Faiz, sikap biadab Israel terhadap Malaysia ini tidak boleh diterima sama sekali dan mereka wajar dianggap sebagai penjenayah.

Justeru itu, katanya, Pemuda Amanah menyokong penuh ketegasan Tun Dr. Mahathir terhadap Israel dengan tidak membenarkan mana-mana rakyat mereka memasuki negara ini.

“Pendirian ini adalah wajar melihat kekejaman yang dilakukan oleh Israel sehingga saat ini.

“Pendirian tegas ini juga selari dengan pembinaan Malaysia baharu yang berasaskan prinsip keluhuran undang-undang, di mana sikap Israel yang tidak menghormati undang-undang tidak boleh dikompromi,” katanya. – MalaysiaGazette