Wong Seng Yee
Calon bebas, Wong Seng Yee bercakap kepada media selepas selesai membuang undi pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Jenis Kebangsaan China Bertam Valley, Cameron Highlands, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 26 JANUARI 2019.

TANAH RATA – Calon Bebas, Wong Seng Yee tidak sabar untuk memulakan projek teknologi pertanian sekiranya beliau memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, hari ini.

Seng Yee yang menggunakan logo canggul itu berkata, meskipun kempennya sebelum ini tidak cukup meluas khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, namun manifestonya diketahui ramai khususnya di kawasan Felda.

“Saya dapat sambutan baik daripada penduduk kampung saya dan penduduk di luar Cameron Highlands ini terutamanya di Jelai. Saya pun hairan pendedahan (manifesto) mereka pun tahu abang topi ini.

“Siapa abang topi itu tapi yang penting sekali mesej yang dikemukakan dalam debat pada 24 Januari lalu sampai kepada pengundi.

“Mereka dapat mesej itu dan berharap akan ada teknologi pertanian dapat dibawa masuk ke kampung-kampung mereka dan saya pun tak sabar lagi nak mulakan projek-projek itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley, di sini, hari ini

Wong Seng Yee
Calon bebas, Wong Seng Yee membuang undi pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Jenis Kebangsaan China Bertam Valley, Cameron Highlands, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 26 JANUARI 2019.

Seng Yee juga melahirkan rasa teruja kerana buat kali pertama keluar mengundi dan dalam masa sama beliau sendiri bertanding dalam pilihan raya di kerusi P078.

“Hari ini sangat gembira sebab sudah undi selepas dua minggu berkempen di Cameron Highlands.

“Sepanjang kempen ini saya banyak belajar dan mendengar masalah dalam kalangan pengundi Parlimen Cameron Highlands terutamanya isu tanah masyarakat Melayu, Cina India dan Orang Asli perlu diberi perhatian,” katanya.

Ditanya tentang peluang untuk menjadi wakil rakyat di sini, beliau berkata menang atau kalah bukan perkara penting sebaliknya nasib pengundi perlu terus dibela.

“Menang atau kalah itu tidak berapa penting kepada saya, kalau saya menang kerusi ini, saya harap buat apa yang saya kemukakan kepada pengundi-pengundi saya.

“Kalau saya kalah dalam Parlimen ini, saya akan berjuang dan berkhidmat dalam jaringan sosial atau melalui persatuan-persatuan saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette