Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa beramah mesra bersama Duta Bosnia ke Malaysia, Emir Hadzikadunic (dua kiri) sambil diiringi Pengerusi Malaysia Bosnia Trade Cooperation Association (MBTCA), Datuk Subhi Dziyauddin (kiri) pada Majlis Pelancaran Bosnia Trade Cooperation Association di Kompleks Islam Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 28 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia tahu risiko yang bakal dihadapi apabila membuat keputusan tidak membenarkan atlet renang Israel masuk ke negara ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, keputusan kerajaan Malaysia itu terlalu kecil jika dibanding tindakan rejim Israel ke atas rakyat Palestin.

Katanya, sebelum Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menguatkuasakan larangan itu, beliau telah mendapat keputusan Kabinet.

“Kabinet yang memutuskan larangan atlet Israel masuk ke negara ini, bukan keputusan Tun Dr. Mahathir seorang.

“Jadi, kita bersedia menanggung risikonya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan penubuhan Malaysia Bosnia Trade Cooperation Association (MBTCA) di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya Dr. Mujahid berkata, Malaysia dan Bosnia mempunyai hubungan baik sejak sekian lama.

Cuma katanya, hubungan itu tidak diteruskan seerat sekarang selepas Tun Dr. Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri, yang diganti Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, ketika di era Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, beliau mengadakan hubungan baik dengan Bosnia yang menderita akibat peperangan.

“Kerajaan Malaysia membuka peluang kepada rakyat Bosnia belajar di universiti dan mengambil anak-anak mereka sebagai anak angkat.

“Beliau wujudkan semula hubungan baik dengan negara itu selepas menjadi Perdana Menteri kali kedua dan kembangkan Bosnia dengan wajah baharu menerusi di bawah kerajaan baharu,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh sembilan bulan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Persekutuan Tun Mahathir telah mewujudkan hubungan dua hala dalam sektor ekonomi.

Antaranya, kata beliau, kerajaan PH mewujudkan peluang pelaburan dengan kedua negara dan Malaysia melihat ia adalah peluang terbaik. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: “Kita tidak boleh terima atlet Israel,” kata Tun M

ARTIKEL BERKAITAN: Ketegasan Tun M terhadap Israel tepat

ARTIKEL BERKAITAN: IPC lucut hak Malaysia anjur Kejohanan Renang Para Dunia 2019