KUALA LUMPUR – Di kala ada segelintir ahli politik masih saling tuduh menuduh dalam isu perkauman, nampaknya rata-rata rakyat Malaysia tidak kira idealogi politik bersatu hati dalam pembatalan penganjuran  Kejohanan Renang Para Dunia 2019.

Semalam, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah kejohanan tersebut yang sepatutnya diadakan di Kuching berikutan keputusan kerajaan melarang atlet Israel memasuki negara ini.

Sejak itu, laman sosial milik IPC menjadi serangan netizen Malaysia atau lebih popular dengan nama timangan ‘bala tentera bawang’ tidak kira kaum dan latar belakang telah mengkritik keputusan tersebut dan sebulat suara menyokong keputusan kerajaan.

Rata-rata mereka membidas IPC dan melahirkan rasa tidak kisah dengan keputusan pembatalan Malaysia sebagai tuan rumah daripada terus menyokong Israel yang dikatakan telah melakukan penindasan dan kekejaman ke atas Palestin.

Setakat ini, kenyataan itu telah mendapat perhatian lebih 48,000 dengan ribuan perkongsian, selain daripada komen pelbagai lapisan masyarakat Malaysia.

Antara komen menarik termasuk ikrar rakyat Malaysia yang akui tidak kisah dan akan terus setia bersama Palestin dengan hashtags seperti, #WeStandWithPalestine #FreePalestin #Humanity1st #SayNoToTerrorist dan #ProudToBeMalaysian.

Ada juga komen-komen dari negara-negara lain yang juga sama-sama bersatu hati dengan pendirian tegas diambil oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Menurut William Elizabeth, Israel tidak perlu di iktiraf dalam peta dunia.

“Siapa Israel ini? Sebenarnya tidak perlu diiktiraf dalam peta dunia,” katanya dalam Bahasa Inggeris.

Kata Ften Ir dari Brunei, pendirian Malaysia sangat di kagumi.

Menurut Onne Naudoor pula lebih baik sekiranya nama IPC ditukar kepada #IsraelParalympicComitee.

Bagi Rohaniah Noor pula, Israel tidak diperlukan langsung di negara ini.

“Anda fikir semuanya tentang Israel dan bagaimana mahu membodek mereka sahaja? Maaf, di Malaysia ianya lain. Kami tidak perlukan anda di negara ini dan kami bangga dengan pendirian kami,” tegasnya.

Untuk Mohd Izham pula, Malaysia juga tidak mengalu-alukan kehadiran IPC di negara ini.

“Kami juga tidak mahu mana-mana atlet dari negara Israel datang ke sini kerana takut anda akan rasa negara ini seperti rumah dan negara anda sendiri. Kemudiannya mungkin anda akan cuba tinggal dan bina penempatan di sini, itu yang merisaukan kami. Kami tidak perlukan kamu,” ujarnya.

Untuk Saraswaty Gunalan pula, beliau tidak kisah tentang kaum atau latar belakang kerana hakikatnya Malaysia didahulukan.

“Kami tidak kisah, saya bangga sebagai rakyat Malaysia. #HumanityFirst,” katanya.

Henny Aishah dari Indonesia pula memuji ketegasan dan penyatuan Malaysia dalam isu berhubung penolakan Israel.

Nur Shazwina pula menyatakan rasa tidak kisah kerana semua rakyat Malaysia bersatu hati menyokong penduduk Palestin.

Bagi Cobod Corebidden yang mendakwa dirinya dari Israel juga menyatakan sokongan terhadap pendirian Malaysia dan menolak keputusan negara itu yang dianggap berat sebelah.

Noor Azwani melahirkan rasa syukur dan gembira dengan Malaysia.

“Tahniah Malaysia. Kami sokong Palestin,” katanya.

Untuk Mohd Faiz pula, Malaysia dan Palestin sudah menang tanpa bertanding.

Ana Zulkifli pula menuduh Israel pembunuh.

Fakhrulrareza Qarie pula,”Apa-apa aje, kami tetap dengan Palestin,”.

Sazra Comei pula menyifatkan Israel sebagai bukan sebuah negara.

“Boikot Israel dan kami tidak kisah langsung,” katanya.

Bagi Mohamad Zamzy Haji Othman pula, selama ini Israel telah bertindak menyekat jalan laut, udara, selain daripada mengebom sekolah, hospital di Gaza. Tetapi IPC tidak peduli. Malaysia sekat pemain Israel, IPC terus batalkan penganjuran tuan rumah.

“IPC pilih bulu dan tidak neutral,” tegasnya.

Baru-baru ini, Presiden IPC, Andrew Parsons berkata, apabila negara tuan rumah mengasingkan atlet daripada negara tertentu kerana politik, pihaknya tidak mempunyai pilihan selain daripada melihat kepada penganjur baharu.

Israel telah meminta IPC menukar lokasi tuan rumah jika jawatankuasa itu tidak dapat memujuk Malaysia menarik balik larangan tersebut sebelum kejohanan di Kuching bermula pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Parson berkata, ketika IPC memeterai kontrak dengan Majlis Paralimpik Malaysia pada September 2017 bagi menganjurkan kejohanan itu, ‘pihaknya mendapat jaminan bahawa semua atlet dan negara yang layak akan dibenarkan bertanding dalam kejohanan ini dengan jaminan keselamatan’.

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/27/ipc-lucut-hak-malaysia-anjur-kejohanan-renang-para-dunia-2019/