Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pinjaman terkumpul bagi pinjaman perumahan oleh institusi-institusi kewangan berkembang sebanyak 7.7 peratus kepada RM555.5 bilion pada akhir November 2018.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, 70 peratus daripada jumlah tersebut adalah peminjam rumah pertama yang berharga RM500,000 ke bawah.

Namun begitu katanya, bilangan kediaman tidak terjual di Malaysia meningkat kepada 30,115 unit pada suku ketiga 2018, naik sebanyak 48 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Ini mencerminkan cabaran kemampuan pemilikan rumah yang berlanjutan serta ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran rumah di pasaran,” katanya ketika berucap melancarkan Dana Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara yang bermesyuarat pertama kali pada 8 Januari 2019 dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah membincangkan pelaksanaan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018–2025 dan 1 Juta Rumah Mampu Milik (RMM) 2018–2028.

Dengan itu, pelancaran dana berjumlah RM1 bilion dan Portal Rumahku itu bertepatan dengan usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya bagi pemilikan rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah tercapai, jelasnya.

Tambah beliau, selain usaha kerajaan, inovasi dalam kalangan pihak swasta juga penting untuk menyelesaikan isu struktur berkaitan.

Katanya, pembeli harus diberi pilihan untuk memiliki rumah selain bergantung kepada pemilikan secara tradisional iaitu melalui pinjaman gadai janji.

“Pilihan inovatif termasuk rumah mampu milik untuk disewa, sewa untuk dimiliki, perkongsian pemilikan, dan pembiayaan alternatif seperti pendanaan awam (crowdfunding) dan P2P untuk memiliki rumah.

Untuk memenuhi hasrat ini, satu dasar rangka kerja pengawalseliaan yang komprehensif dan mampan juga adalah penting untuk melindungi pembeli,” tambahnya.

Menyentuh mengenai Dana Rumah Mampu Milik, Bank Negara Malaysia akan bekerjasama dengan institusi-institusi kewangan untuk membantu pembeli rumah berpendapatan RM5,000 sebulan dan ke bawah membeli rumah pertama yang berharga tidak lebih RM300,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast