KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak merancang mempamerkannya Kiswah yang digunakan untuk menutupi Kaabah di galeri atau muzium di negara ini.

Ia merupakan pemberian Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud kepada bekas Perdana Menteri itu pada 2010 berikutan hubungan akrab antara kedua-dua pemimpin tersebut.

Beliau pernah mempamerkan Kiswah itu di Seri Perdana untuk seketika namun tidak pernah memaklumkan perkara itu kepada media tempatan.

Najib berkata, perkara tersebut dirahsiakan kerana Almarhum bimbang pemberian tersebut mungkin memberi kesan kepada negara-negara Islam lain.

“Bahagian kain Kiswah yang baginda hadiahkan kepada saya amat besar dan seberat 170 kilogram (kg). Ia merupakan bahagian yang paling berharga dan bermakna kerana merupakan bahagian Multazam yang ada banyak tenunan dan hiasan benang perak dan benang emas untuk menutup pintu Kaabah.

“Oleh itu kepada saya, bahagian Kiswah ini boleh dianggap sebagai tidak boleh dinilaikan harga tetapi ada yang memberitahu saya ia bernilai sekurang-kurangnya AS$20 juta (RM82 juta),” katanya dalam hantara Facebook sambil menambah Kisbah tersebut diguna pada 2009.

Kiswah dibuat setiap tahun dengan menggunakan 670 kg benang sutera dan benang-benang emas dan perak seberat 150 kg.
.
Menurut Najib, pada masa ini Kiswah intu masih disimpannya dengan baik dan perbincangan dengan beberapa pihak untuk mempamerkannya di galeri atau muzium tempatan dalam masa terdekat sedang dilakukan. – MalaysiaGazette