Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bersama Ketua Pegawai Eksekutif KTM Berhad, Mohd Rani Hisham Samsudin menyerahkan pek cenderahati kepada sebahagian orang ramai pada Majlis Edaran Pek Cenderahati kepada penumpang KTM Berhad sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2019 di Aras 2, Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 31 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Berikutan kenyataan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman mengenai tiada lagi pengurangan saman oleh kerajaan boleh mengurangkan hasil kutipan, Menteri Pengangkutan akan menelitinya mengenainya.

Justeru, Anthony Loke berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan PDRM.

Menurut beliau, satu pertemuan antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan PDRM mengenai perkara itu akan diadakan selepas cuti perayaan Tahun Baru Cina.

“Mereka (PDRM) tidak kata tidak setuju, kerajaan akan bincang dengan mereka selepas sambutan Tahun Baru Cina,” katanya dalam sidang media selepas program edaran cenderahati kepada penumpang KTM Berhad sempena sambutan Tahun Baharu Cina di KL Sentral hari ini.

Anthony ditanya mengenai kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias yang  berkata, PDRM tidak dapat mengumpul hasil sekiranya kerajaan menamatkan diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan kerana ramai tidak akan membayarnya.

Merujuk kepada laporan Malay Mail, Azisman berkata, pihaknya memahami niat Anthony namun objektif jabatannya juga perlu dipertimbangkan.

Menurut beliau, hanya 30 peratus daripada lima juta saman yang dikeluarkan diselesaikan setiap tahun.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2018, PDRM telah mengeluarkan 5.7 juta saman trafik yang mana hanya 25 peratus daripadanya sahaja telah dibayar. -MalaysiaGazette