logo plus

KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan malam ini berikutan orang ramai mula bercuti dan pulang ke kampung bersempena cuti sekolah dan perayaan Tahun Baharu Cina.

Menurut jurucakap PLUS Malaysia Berhad, setakat 10 malam ini, aliran trafik di bahagian utara perlahan dari Tapah ke Gopeng, Kuala Kangsar ke Changkat Jering dan selepas Terowong Menora menuju ke Sungai Perak.

“Sementara itu, bagi arah selatan, kenderaan turut bergerak perlahan dari Pedas Linggi menuju Simpang Ampat, Negeri Sembilan akibat kemalangan kecil di KM 226, bagaimanapun, tiada lorong terhalang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah dilaporkan lancar setakat ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – Bernama