Tun Dr. Mahathir
Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) mengakui kemenangan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tipis.

Kini PH mula mengatur strategi untuk berdepan pencabarnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan pada 2 Mac depan.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu kini sedang mengatur strategi bagi mengatasi masalah tersebut.

“Dalam PRK di Semenyih kita percaya kita boleh menang melainkan kalau ada sesuatu yang luar biasa dilakukan oleh parti UMNO dan Pas kerana sekarang ini BN (Barisan Nasional) sudah tidak ada. Yang ada cuma UMNO saja, UMNO pun dah tinggal separuh saja tidak ada banyak,” katanya pada sidang media di sini.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang.

Bakhtiar mengalahkan wakil rakyat dua penggal di kawasan itu, Datuk Johan Abd Aziz daripada Barisan Nasional dengan 23,428 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun sebelum ini mengumumkan PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari ini, manakala tarikh pengundian awal pada 26 Februari.

Sementara itu, Dr Mahathir mendakwa undi yang diperoleh PH pada PRK Parlimen Cameron Highlnds baru-baru ini meningkat meskipun parti tewas itu kepada pencabarnya BN.

Katanya, kerjasama antara BN dan Pas pada PRK berkenaan telah menyebabkan PH tidak mampu merampas kerusi Parlimen yang menjadi tradisi milik BN

“Kita dapati bahawa di Cameron Highlands walaupun di sana PH kalah tapi undi bagi kiita meningkat, undi BN berkurangan sebabnya mereka menang kita percaya ada gabungan antara parti Pas, parti Islam dengan parti kafir, UMNO.

“Mengikut Pas bukan saya kata itu pas kata UMNO ni kafir tapi sekarang ini kafir dan Islam dah bekerjasama. Jadi dapatlah mereka dapat kemenangan bagi calon mereka.

“Ini perlu kita ingat di masa hadapan juga parti Islam dengan parti kafir ini akan bekerjasama untuk mendapat kemenagan di dunia, di akhirat kita belum tahulah di dunia ada kemungkinan dia menang,” ujarnya.

Terdahulu, Dr Mahathir mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dihadiri anggota daripada parti-parti gabungan. – MalaysiaGazette