Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Tuduhan bahawa Presiden Pas melanggar undang-undang dengan menggunakan sentimen agama untuk mempengaruhi pengundi adalah suatu dakwaan yang dangkal dan berniat jahat.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, peguam yang membuat dakwaan tersebut seperti gagal memahami bahawa suatu peruntukan undang-undang tidak boleh dibaca secara berasingan dan mesti mengambil kira undang-undang yang berkaitan terutamanya Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang kebebasan berpolitik iaitu kebebasan untuk mewakili suara parti dan pihak yang diwakili.

“Tambahan pula, kedudukan Islam dan hak istimewa orang Melayu memang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pada masa yang sama, Akta Pertubuhan pula membenarkan parti politik untuk mempromosi kepentingan ahlinya.

“Pas adalah parti politik yang mempromosikan kepentingan Islam dan orang Melayu adalah komponen terbesar kepada kepentingan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, seruan untuk mengundi pemimpin Muslim secara jelas bukan perbuatan mengembang perasaan jahat’ atau kempen hasut-menghasut untuk membenci calon lain.

Ujarnya, definisi pecah belah agama dan rasis tidak boleh mengikut pendapat peribadi semata-mata, sebaliknya peruntukan undang-undang perlu dibaca secara menyeluruh.

“Kenyataan peguam tersebut jelas bersifat mentafsirkan undang-undang tanpa asas, berniat jahat (mala fide) dan dengan sengaja mahu membangkitkan persepsi jahat dan kebencian awam terhadap Pas dan orang Melayu Islam.

“Sekiranya beliau merasakan mempunyai asas yang kuat, sepatutnya sejak dari awal lagi beliau sendiri boleh membuat laporan kepada pihak polis.

“Kenyataan ini bertujuan mahu menutup kesalahan yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh kempen sehingga hari pengundian PRK Cameron Highlands dan ia juga adalah manifestasi ketakutan melampau terhadap kesatuan Melayu dan Islam yang merupakan ancaman terbesar terhadap survival politik PH,” ujarnya.

Mohd Khairuddin turut melahirkan kehairanan apabila melihat mereka yang selalu mengganggu-gugat kepentingan Melayu dan Islam tidak pula dianggap menentang Perlembagaan, sebaliknya suara yang menyeru kepada kesatuan Melayu dan Islam pula yang dituduh menyalahi undang-undang.

Semalam, seorang peguam menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat laporan polis terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila memberitahu pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands lalu bahawa orang Islam wajib mengundi hanya calon beragama Islam.

Peguam tersebut, Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar berkata, dengan berkata demikian, pemimpin Pas itu melanggar undang-undang dengan menggunakan sentimen agama untuk mempengaruhi pengundi beragama Islam. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.