Pekerja sendiri, Rabain Ahmad,56 bercakap kepada media ketika ditemubual mengenai isu semasa sempena Pilihan Raya Kecil Semenyih yang bakal tiba tidak lama lagi di sekitar kawasan Semenyih, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Pengundi di Semenyih kini sedang mempertimbangkan keputusan sama ada mahu mengekalkan wakil rakyat daripada parti kerajaan atau tidak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Mac nanti.

Demikian luahan salah seorang anak jati kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu, Rabain Ahmad, 56.

Rakan-rakannya juga meluahkan rasa tidak puas hati sesama sendiri kata Rabain.

Menurutnya, ada yang kesal dan marah kepada kerajaan sekarang  apabila melihat tidak ada perubahan dari aspek kos sara hidup malah sebaliknya pula yang berlaku apabila banyak perkara yang menyusahkan rakyat.

Lagi pun, katanya, mereka tidak menunaikan janji-janji pilihan raya umum yang lalu.

“Kalau dengar cerita kawan-kawan, ada yang marah dengan kerajaan yang sekarang ini, berjanji tapi tidak dibuat.

“Tapi mereka pun tak pasti lagi (nak buat perubahan). Barang pun naik kalau dulu RM17 sekarang lebih RM20 masa GST pun tak naik macam ni,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Bagi seorang lagi pengundi di kawasan itu, Zainal Arifin, wakil rakyat yang akan akan menjadi pilihannya adalah Islam dan Melayu.

MGF02022019_TEMUBUAL SEMPENA PRK SEMENYIH04
Peniaga, Zainal Arifin, 73 bercakap kepada media ketika ditemubual mengenai isu semasa sempena Pilihan Raya Kecil Semenyih yang bakal tiba tidak lama lagi di sekitar kawasan Semenyih, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 FEBRUARI 2019

Peniaga buah-buahan di kawasan pekan itu selama 10 tahun itu berkata, selain kriteria itu, wakil rakyat mesti ada sikap terbuka, ringan tulang dan selesa bergaul dengan rakyat.

Wakil rakyat juga perlu sentiasa bertanyakan masalah yang dihadapi oleh penduduk.

“Kadang-kadang ada setengah-setengah yang baik ada kematian kenduri turun, melawat itu yang penting, misalan jalan rosak bukan rakyat yang beritahu, dia sendiri yang tahu ada yang duduk di pejabat sahaja, payah (malas) melawat.

“Kalau yang jenis susah tengok sendiri keadaan rakyat, susahlah,” kata lelaki berusia 73 tahun itu kepada Malaysia Gazette.

Begitu juga ‘cita asa’ Abdul Razak Mat Noor,33, yang mahu wakil rakyat boleh didekati dengan mudah bukan semata-mata semasa berkempen tetapi selepas menang.

MGF02022019_TEMUBUAL SEMPENA PRK SEMENYIH05
Pekerja sendiri, Abdul Razak Mat Noor,33, bercakap kepada media ketika ditemubual mengenai isu semasa sempena Pilihan Raya Kecil Semenyih yang bakal tiba tidak lama lagi di sekitar kawasan Semenyih, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 FEBRUARI 2019

“Tidak kisah mana-mana bukan dari Semenyih pun tak apa, janji dia boleh jumpa kita, kita boleh jumpa dia dengan senang, maknanya senang berurusan.

“Jantina tak kisah, mesra rakyat itu perlu,” katanya.

Pengundi di Semenyih sekali lagi akan mengundi apabila penyandangnya daripada Parti Pribumi Bersatu mewakili Pakatan Harapan, Bakhtiar Mohd Nor  meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Justeru, Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 2 Mac depan bagi tarikh mengundi PRK DUN Semenyih, penamaan calon pula 16 Februari manakala tarikh mengundi awal pada 26 Februari ini.

Pada PRU-14, Bakhtiar mengetepikan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua calon lagi iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh sebanyak 23,428 undi.

Kali ini, UMNO dan Pas telah mengisytiharkan akan saling bantu-membantu dalam tempoh berkempen menyokong calon UMNO yang akan bertanding melawan calon dari PH. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/01/18/prk-dun-semenyih-26-februari-spr/

1 Komen

Comments are closed.