, Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengakui dirinya mengundang rasa tidak puas hati orang dalam soal penguatkuasaan dan pembayaran saman lalu lintas.

Anthony bagaimanapun berkata, beliau bersedia untuk dikelaskan sebagai “orang yang tidak dialu-alukan” jika ketegasan tidak diundang itu boleh mengubah sikap pengguna jalan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan.

Beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 90,000 saman melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) sejak ia diaktifkan 1 September tahun lalu.

Katanya, hanya 10,000 saman itu telah dijelaskan, dan mereka yang gagal melakukan pembayaran dalam dua bulan atau mengingkari arahan hadir mahkamah akan disenarai hitam yakni tidak dibenarkan memperbaharui cukai jalan.

“Tiada orang yang sanggup berbuat demikian dengan mengambil keputusan seperti ini sebelum ini.

” Keputusan seperti ini memang tidak disukai orang ramai, tetapi ia perlu dibuat untuk mengurangkan kemalangan,” katanya kepada China Press.

Siew Fook berkata, pemberian diskaun kepada pesalah lalu lintas tidak lain seperti menggalakkan orang melakukan kesalahan dan memecut.

“Masalah memecut adalah sangat serius di Malaysia. Walaupun ada orang yang mempertikaikan bahawa negara lain lebih longgar dalam soal ini, tetapi kajian mendapati pecut adalah antara faktor pembawa maut,” katanya.

Menurutnya, 6,740 maut akibat kemalangan jalan raya pada 2017 berbanding lebih 7,000 pada 2016.

“Walaupun angka kematian menurun setiap tahun, tetapi masih ada belasan malahan puluhan orang mati setiap hari di jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Siew Fook berkata, pihaknya sedang mengenal pasti sistem subsidi yang dapat memastikan bantuan kerajaan betul-betul memanfaatkan syarikat bas dan pengguna pengangkutan awam itu.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan mengambil berat kemudahan bas di bandar dan luar bandar, termasuk laluan tertentu yang merugikan.

Menurutnya, terdapat kira-kira 1,000 bas pengantara yang menghubungkan penumpang dengan stesen rel dan jumlah itu perlu ditambahkan sekali ganda lagi.