Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, DCP Zulkifli Ali bercakap pada Sidang Media Rampasan Dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2019

SHAH ALAM – Polis Bahagian Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Selangor merampas sebanyak 723.45 kilogram pelbagai jenis dadah sintetik dan tradisional bernilai kira-kira RM90.1 juta dalam tempoh satu bulan dari 1 hingga 31 Januari lalu.

Dalam tempoh itu juga, polis menangkap seramai 17,363 orang membabitkan 2,731 pembekal, 6,367 orang memilik dan 8,265 orang didapati positif dadah menerusi ujian air kencing.

Timbalan Pengarah JSJN, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, warga tempatan paling ramai ditangkap, iaitu 16,245 orang, manakala selebihnya, 1,118 adalah warga asing.

Antara dadah sintetik yang dirampas ialah jenis syabu sebanyak 611.38 kilogram, ketamin (10.04 kg), pil eramin 5 (3.34 kg), pil yaba (3.19 kg) dan pil ekstasi (6.7 kg).

Jelas beliau, dadah jenis tradisional yang dirampas ialah ganja sebanyak 5.18 kilogram dan heroin 83.62 kilogram.

“Rampasan ini adalah hasil usaha berterusan JSJN dalam menjalankan risikan dan operasi yang profesional.

“Kita sentiasa akan memastikan aktiviti sindiket penyeludupan, pengedaran dan penagihan dadah ini berjaya dibendung sebaik mungkin,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast