Temubual eksklusif Malaysia Gazette bersama Bendahari Bahagian Armada Hulu Langat, Mohamad Shazri Mohamad Suhaimi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Prima Saujana, Kajang. foto FAREEZ FADZIL, 03 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Salah seorang calon daripada enam nama yang disenarai Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih berhasrat mahu meneruskan agenda yang dirangka oleh penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor.

Mohamad Shazri Mohamad Suhaimi, 31, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau akan memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan itu terjamin sekiranya diberi mandat untuk menjadi wakil dalam membela nasib mereka.

Menurutnya, tempoh Allahyarham Bakhtiar untuk menerajui DUN berkenaan yang terlalu singkat telah menyebabkan beberapa aspirasi yang diilhamkan belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Kita dapat lihat faktor-faktor yang ada di Semenyih dari segi perkauman, agama, masalah tempatan kita perlu selesaikan.

“Saya akan meneruskan agenda-agenda yang dirangka oleh beliau dan aspirasi untuk menyelesaikan masalah penduduk setempat,” katanya kepada MalaysiaGazette menjelang pilihan raya DUN berkenaan yang akan berlangsung pada 2 Mac ini.

Mohamad Shazri berkata, beliau mempunyai misi dan visinya yang tersendiri dalam memajukan Semenyih dan semuanya itu akan ciba dikotakan sekiranya peluang diberikan kepadanya.

Katanya, DUN Semenyih sememangnya satu kawasan yang luas dan di setiap kawasan mempunyai masalah berbeza-beza dan perlu diberikan perhatian serta penyelesaian.

“Di kawasan DUN Semenyih ini ada 14 ladang, ada 31 kampung dan 42 taman. Setiap tempat ada perbezaan masalah.

“Di ladang mungkin ada masalah baja dan sebagainya, di kampung pula ada masalah tradisi. Semua itu perlu diberi perhatian agar menjadi lebih baik.

“Di taman pula ada faktor yang lebih umum, dari segi kesesakan lalu lintas. Jadi, setiap tempat itu berbeza masalah yang perlu kita hadapi, ia tidak sama dengan di tempat-tempat lain,” ujarnya yang merupakan Bendahari Bahagian Armada Hulu Langat.
.

MGF03022019_TEMUBUAL SHAZRI SUHAIMI_01

PRK DUN Semenyih akan diadakan susulan penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14.

Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. – MalaysiaGazette