Mendiang Presiden Parti IPF, Datuk M. Sambathan

KUALA LUMPUR – Nampaknya kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti ‘cacing kepanasan’ apabila berdepan dengan populariti luar biasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak sejak kebelakangan ini.

Najib bukan sahaja menjadi popular bahkan kepetahan berhujah menjawab isu-isu berkaitan rakyat serta kepincangan PH juga mula diterima logiknya.

Setiap status dalam laman sosial Facebook dan Instagram beliau bukan sahaja mendapat puluhan ribu ‘like’ tetapi juga komen serta perkongsian beribu-ribu warganet.

Rata-ratanya memberi kesan positif terhadap beliau.

Itu hak Najib selagi ia tidak menyalahi undang-undang apatah lagi beliau bekas pemimpin nombor satu di negara ini satu ketika dahulu.

Pelik juga apabila slogan ‘Apa Malu Bossku’ kini menjadi semakin trending dan ditakuti  pihak-pihak tertentu malah ada membuat bantahan.

POPULAR SELEPAS PRK CAMERON

Apa pun, sejurus pengumuman kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) mengalahkan calon DAP, M. Manogaran di Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands, Najib menjadi ‘mangsa’ kemarahan PH.

Begitu luahan hati Presiden  Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Datuk M. Sambathan kepada Malaysia Gazette hari ini.

Sambathan amat terkejut apabila pada sebelah petang Ahad lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir mengambil keterangan Najib seolah-olah tidak boleh tunggu hari esok.

“Dalam beberapa jam sahaja, beliau (Najib) terus didakwa di mahkamah tinggi atas tiga lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta.

“Boleh ke begitu? Selepas kita menang, dalam beberapa jam SPRM ambil keterangan kemudian tanpa sebarang siasatan, kertas dakwaan juga telah ditandatangani oleh Peguam Negara, Tommy Thomas untuk dakwaan itu.

“Sebenarnya, mengapa Najib diperlakukan sebegitu?

“Adakah ini salah satu cara untuk menakut-nakutkan beliau? Menekan beliau daripada terus bergerak bebas membantu BN dan UMNO? Menggertak beliau supaya berdiam diri sahaja?

“Adakah setiap pembohongan dan kepincangan kerajaan PH yang didedahkan satu persatu oleh Najib sangat tidak di senangi sehingga perlu terus ‘menganiayai’ beliau?

“Cameron Highlands sudah, kini untuk Semenyih. Apa pula akan dilakukan oleh PH terhadap Najib? Semalam beliau ke Langkawi, sudah ada orang buat laporan polis bukan satu tapi lima. Kebodohan apa ini?

“Apa yang di takutkan sangat dengan Najib? Betul juga kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Hanipa Maidin, belum ada bukti. Betullah apa yang Ambiga cakap juga, Najib memang popular dan ia sangat menakutkan.

“Tetapi realitinya, kini rakyat juga sudah nampak pembohongan kerajaan PH hanya kerana mahu menang pilihan raya dan juga memberi janji yang pastinya tidak mampu dipenuhi asal dapat undi sudah.

“Sekarang mereka terkebil-kebil untuk membuktikan kebenaran malah sudah tidak tahu bagaimana mahu menangani Najib sehingga terdesak untuk melakukan perkara-perkara seperti itu.

“Memalukan betul kepimpinan PH ini,” katanya lagi.

TOMMY MEMALUKAN

Jelas Sambathan lagi, tindak tanduk Tommy juga sangat diragui dan mengecewakan.

“Apa sebenarnya kerja Tommy ini? Beliau mengeluarkan kenyataan bercanggah. Tugas utama beliau sebenarnya adalah menasihati Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Yang DiPertuan Agong.

“Tapi apa yang dilakukan oleh beliau sebenarnya amat memalukan dan tidak boleh diterima. Apakah Tun Mahathir tidak akan menasihatkan beliau ke? Lagi malu apabila ramai sangat pengamal undang-undang tampil mengkritik kepimpinan beliau. Peguam Negara apa macam ini?

“Mungkin perhatian dan minat beliau lebih menjurus dalam isu-isu berkaitan Najib sahaja agaknya, macam sudah tiada kerja lain lagaknya. Tun Mahathir tak tegur ke atau tak sedar ada Peguam Negara seperti ini?” soal Sambathan lagi.

Kata-kata Sambathan sebenarnya ada juga kebenaran apa lagi ketika kempen PRK Cameron Highlands, Malaysia Gazette sempat berbual dengan penduduk setempat tentang kehadiran Najib ke kawasan itu.

Malah sejurus selepas jadual lawatan Najib ke Cameron Highlands keluar secara rasmi, bukan sahaja media bahkan penduduk setempat kelihatan teruja sehingga sanggup tunggu berjam-jam menanti bekas perdana menteri itu.

Walaupun Najib dijadualkan melawat kawasan kampung mereka pada pukul 8 pagi – rata-rata mereka sudah berkumpul seawal 6.30 pagi lagi.

RELEVAN

Bagi mereka, kehadiran Najib sangat bermakna dan mereka hanya sekadar mahu berterima kasih dengan semua yang telah dilakukan oleh Najib, UMNO dan kerajaan BN sebelum itu.

Walaupun sebelum ini, pelbagai pihak mengatakan Najib sudah tidak lagi relevan dan dibenci rakyat sehingga membawa kejatuhan kerajaan BN namun kini sebaliknya berlaku.

Rata-rata warga Felda di Sungai Koyan seperti contoh merasakan Najib sebagai penyelamat kerana menganggap Ahli Parlimen Pekan itu pemurah dan memberi mereka rezeki tanpa berkira ketika masih menjadi Perdana Menteri.

Omar Puteh

Seorang peneroka di sana, Omar Puteh, 70, (gambar atas) berkata, nasib keluarganya bahkan keseluruhan penduduk Sungai Koyan di Pahang berubah nasib apabila Najib memperkenalkan pelbagai jenis inisiatif.

“Kita dapat banyak inisiatif dan bantuan. Macam bantuan pendidikan, kita tidak dapat pun ketika zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-4. Apa yang rasuah? Ini namanya rasuah ke? Katanya, kami pemalas dengan beri iniasitif.

“Dengan bantuan seperti ini, kami telah dapat membangunkan diri masing-masing dengan lebih baik lagi. Apa yang salahnya? Malah keluarga kami juga hidup dengan lebih baik, kedudukan ekonomi juga lebih baik.

“Sudah-sudahlah, jangan asyik taksub sangat nak berbohong dan perbodohkan kami. Tentunya, penduduk kawasan ini, rata-rata semuanya pengundi tegar BN dan UMNO. Kami tahu erti berhutang budi,” tegasnya.

HUTANG BUDI

Noraishah Abdul Hadir

Bagi Noraishah Abdul Hadir, 49, (gambar atas) yang telah menetap di Sungai Koyan 3 sejak 42 tahun lepas, kerajaan kini yang sebelum ini menjadi pembangkang seolah-olah lupa diri dan berterusan membuat tohmahan serta janji-janji palsu.

“Sebenarnya saya tidak faham, mengapa mereka masih lagi berterusan mahu menuding jari dan cuba merosakan akhlak kami?

“Semua janji semuanya tidak boleh ditepati, kemudian ada pula perangai pemimpin yang mengugut kami untuk mendapatkan undi.

“Kesetiaan kami masih sama, kami banyak mendapat manfaat apatah ketika zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan juga Najib yang banyak memberi perhatian kepada kemahuan dan kehendak kami.

“Kerajaan kini lain pula lagaknya, asyik-asyik kata kami pemalas jika diberikan inisiatif. Bukankah sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan semua keperluan rakyat?

“Di sini, saya ingin tekankan, mereka (kerajaan PH) tidak boleh sesekali masuk kawasan kami, kami tidak akan sesekali goyah malah Najib sangat popular di sini, populariti beliau bukan sekarang tapi sebelum ini lagi, jangan berani usik kami,” ujarnya.

HALAU ANAK

Yusri Darus

Yusri Darus, 42, (gambar atas) pula menceritakan bagaimana penduduk setempat sanggup menghalau anak kerana mahu mengundi dan menyatakan sokongan terhadap PH.

“Ibu kepada budak lelaki itu sanggup halau anak keluar rumah bukan kerana dia buat benda tidak senonoh tapi sebab kesetiaan dan betapa terhutang budi dengan kerajaan sebelum ini khasnya Najib.

“Ini bukan cerita main-main, ini cerita betul. Kami tidak pandai politik tapi kami juga tahu apa yang baik dan buruk buat kami sebenarnya.

“Jangan buruk-burukkan pemimpin BN pada kami, asyik cakap 61 tahun kerajaan BN menipu tapi kerajaan PH juga tidak ada buat apa-apa untuk kami.

“Semua pembangunan ini telah dibawa oleh BN dan UMNO. Kini kerajaan baharu, semuanya mahu ditukar, semuanya tidak boleh dan semuanya mahu dimansuhkan.

“Jadi apa baiknya undi mereka? Kos sara hidup semakin meningkat, tekanan semakin bertambah, siapa mahu bantu kami?

“Apabila pemimpin seperti Najib bercakap, anda semua cuba diamkan beliau. Habis siapa yang boleh bantu?” soalnya. –MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Terlalu lemah ulasan Jeevendran sekadar memilih segenlintir penyokong BN utk memuja Najib.

    Tajuk Ulasan, “APA PH TAKUT SANGAT DENGAN NAJIB?”

    di tukar ulusan, ” PH memberi byak ruang kpd Najib utk bersuara.”

    …ruang kebebasan yg di beri tidak lain utk mengetahui siape yg

    (1) Penyokong Tegar
    (2) Mula merasakan Najib sebagai liability
    (3) Menjauhi Dari Nya.

    ..sehingga bilamana Najib mula merasakan tertekan oleh kes kes nya di mahkamah.

    Suami Najib, Rosmah, terpaksa mencari bomoh2 utk membantu. Ini sj yg ada utk Najib.

    its a matter of time, Najib is an oblivion. Meantime, Jeevendran, you can keep patronising him.

Comments are closed.