Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (kiri) mengedarkan cenderahati kepada penunggang motosikal pada Kempen OP Selamat sempena Tahun Baru Cina di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri warga Rusia ditahan polis selepas disyaki melakukan kesalahan sengaja melambung anaknya berusia empat bulan bagi tujuan persembahan di kaki lima.

Ini kerana perbuatan berkenaan boleh mendatangkan risiko kecederaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pasangan itu ditahan polis di sebuah rumah di ibu negara petang tadi.

“Polis menerima maklumat orang awam mengenai insiden itu yang viral dalam media sosial dipercayai berlaku di Bukit Bintang semalam.

“Bertindak atas maklumat orang awam, polis telah ke Jalan Raja Abdullah dan menahan pasangan berusia 28 dan 27 tahun itu sekitar pukul 3.30 petang tadi.

“Anaknya berusia baru empat bulan yang merupakan mangsa turut berada bersama ibu bapanya ketika dicekup polis,” katanya dalam sidang media Op Selamat 14 di Plaza Tol Jalan Duta di sini hari ini.

Tambah Mazlan, pasangan Rusia itu merupakan pelancong asing yang telah memasuki negara menerusi Thailand pada 1 Februari lalu.

“Kita akan mendapatkan reman pada hari esok di mahkamah ke atas kedua dua individu itu untuk disiasat lanjut di bawah Akta Kanak-Kanak yang diperuntukkan di negara ini.

“Perbuatan mereka sama ada sengaja atau tidak sengaja boleh mendatangkan kecederaan kepada bayi itu dan itu satu kesalahan serius yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” tegasnya lagi.

Dalam video dan gambar yang viral itu, lelaki warga Rusia itu melambung bayi yang hanya mengenakan kain lampin pakai buang di khayalak ramai dipercayai dalam persembahan jalanan.

Sebelum ini, Mazlan menegaskan polis hanya boleh bertindak sekiranya menerima laporan polis oleh orang awam atau saksi yangb melihat aksi itu. – MalaysiaGazette