kemalangan
Lokasi tempat kemalangan yang meragut nyawa Muhammad Nuraizat di Kampung Selagon 2, Beufort, petang semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak berusia 7 tahun maut selepas digilis sebuah kereta dalam kemalangan di Kampung Selagon 2, Beufort, petang semalam.

Dalam insiden yang berlaku pukul 2.30 petang itu, mangsa Muhammad Nuraizat Syah Danish Royhaizzath, menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort, DSP Azmir Abd Razak berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Datsun yang dipandu lelaki berusia 40 tahun.

“Hasil siasatan mendapati pemandu kereta dalam perjalanan dari Kampung Pintas menuju ke Pekan Beaufort.

“Namun sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang pejalan kaki disyaki melintas jalan dari arah kiri ke kanan.

“Pemandu tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa dan akibat kejadian itu mangsa terjatuh di jalan raya lalu tergilis dengan tayar depan sebelah kiri kereta terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azmir memberitahu, mangsa yang parah di bahagian kepala dibawa ke hospital oleh bapanya untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan selepas disahkan oleh pegawai perubatan hospital,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian kanak-kanak itu yang melintas jalan secara berbahaya.

“Tiada unsur jenayah dikesan dalam kemalangan ini namun siasatan lanjut masih diteruskan. Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – MalaysiaGazette