Hausboom
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memuatnaik foto minuman jenama Hausboom di atas meja beliau.

KUALA LUMPUR- Selepas dituduh menipu oleh pengasas air minuman berperisa, Hausboom, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil memberi penjelasan.

Malah beliau mendakwa telah membantu usahawan tersebut memasuki pasaran kedai serbaneka, 7-Eleven.

Menurut Syed Saddiq, beliau bertemu sendiri dengan pemilik rangkaian kedai serbaneka, 7-Eleven, Tan Sri Vincent Tan bagi mengenengahkan produk keluaran Hausboom yang dimiliki oleh Azri Zahier Azmi.

“Pagi tadi, saya dimaklumkan salah seorang usahawan yang produknya masuk ke jemaah menteri, produknya yang saya promosikan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri malah saya bantu produknya untuk masuk rangkaian 7-Eleven dan lain-lain, mencaci saya kerana tidak bantu dia.

“Saya bukan orang yang mahu membesar-besarkan perkara seperti ini tetapi saya sangat kecewa.

“Ramai yang kata ini taktik untuk mempromosi jualannya dan saya tidak perlu menjawab kerana itulah yang beliau mahukan,” katanya di dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Menurut Syed Saddiq, pemilihan usahawan dan produk keluaran mereka ditentukan oleh sebuah jawatankuasa khas di bawah kementeriannya.

“Dia kata barang yang kami bantu promosikan secara percuma, haram.

“Saya telah mengarahkan pasukan saya untuk membayar semula harga minuman tersebut sepenuhnya.

“Semoga Allah membuka pintu hatinya pada masa hadapan dan semoga perniagaanya berjaya,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/05/syed-saddiq-kencing-usahawan-muda/