Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak keluar dari mahkamah selepas mendengar tiga rayuan termasuk isu interlokutori berhubung pertuduhan kes jenayahnya membabitkan milik SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 07 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan penangguhan untuk mendengar tiga rayuan oleh Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melibatkan isu interlokutori (permohonan sebelum perbicaraan) dalam kes pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan wang berjumlah RM42 juta yang membaitkan SRC International Sdn Bhd.

Peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang membuat permohonan itu meminta penangguhan itu kerana beliau mahukan Mahkamah Rayuan memutuskan isu asas yang melibatkan keputusan pihak pendakwa untuk menarik balik Sijil Pemindahan ke atas tiga pertuduhan terhadap anak guamnya, pada 28 Januari.

“Memandangkan sijil pemindahan Seksyen 418 (A) Kanun Acara Jenayah ditarik balik, maka kes itu perlu kembali ke Mahkamah Sesyen.

“Dia (Tommy Thomas) membuatkan Hakim (Mahkamah Tinggi) membenarkan mereka membuat permohonan di bawah Seksyen 417 Kanun Acara Jenayah yang berdasarkan keputusan hakim sendiri.

“Hujah kami adalah apabila sijil 418 (A) ditarik balik, tidak ada lagi prosiding di Mahkamah Tinggi. Ia perlu kembali ke Mahkamah Sesyen dan kembali ke Mahkamah Tinggi sekali lagi,” kata Shafee.

MGF07022019_NAJIB RAZAK MAHKAMAH12
Peguam bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shafee Abdullah bercakap kepada media selepas anak guamnya yang merupakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke mahkamah berhubung tiga rayuan termasuk isu interlokutori berhubung pertuduhan kes jenayahnya membabitkan milik SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 07 FEBRUARI 2019

Beliau menegaskan bahawa Peguam Negara, Tommy Thomas sendiri telah menyuarakan keraguannya mengenai kesahihan tiga tuduhan yang beliau kemukakan kepada Mahkamah Tinggi, penghujung bulan lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Kamardin Hashim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwat.

Terdahulu Najib hadir di perkarangan Mahkamah Rayuan jam 2.18 petang bagi mendengar tiga rayuan berhubung isu permohonan perintah larangan bagi menghalang media membincangkan kes jenayahnya.

Beliau ditemani anaknya, Norashman serta barisan peguamnya.

Rayuan itu berkaitan permohonan pembelaan supaya pihaknya dikemukakan surat pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes itu, perintah larangan bagi menghalang media dan orang ramai membicarakan merit kes dan permohonan bagi mendapatkan dokumen kes.

Jika rayuan interlokutori Najib ditolak Mahkamah Rayuan, beliau masih berpeluang mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Jika dibenarkan mahkamah, perbicaraan kes boleh ditangguhkan sehingga rayuan interlokutori terbabit didengar dan diputuskan sehingga peringkat rayuan paling akhir.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Najib daripada tiga tuduhan baharu membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta yang dikemukakan terhadapnya, minggu lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Tommy Thomas untuk menarik balik pendakwaan yang dikemukakan terhadap Najib. -MalaysiaGazette