Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Dr. Wan Azizah Wan Ismail

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah catatan palsu pada media sosial melibatkan Pakatan Harapan sejak kebelakangan ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, catatan terbaharu pengguna Facebook “Menteri FB” yang menyiarkan gambar Timbalan Perdana Menteri bersama Ahli Parlimen, Lim Kit Siang.

“Gambar itu turut disertakan dengan kapsyen: “Selepas Azmin Ali dimasukkan ke hospital kini tiba pula giliran Wan Azizah Ismail”.

Menurutnya, catatan berunsur fitnah itu menyebarkan spekulasi bahawa Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad akan menggunakan penyakit Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dan Dr. Wan Azizah sebagai alasan untuk melantik anak beliau, Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri menegaskan gambar tersebut adalah gambar lama.

Malah, pada pagi ini Timbalan Perdana Menteri merasmikan Tasputra Perkim turut meluangkan masa beramah mesra dengan media.

“Ini hanyalah usaha yang berniat jahat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab berselindung di sebalik nama samaran untuk mewujudkan ketengangan dalam PH.

“Maka jangan mudah terpedaya dan percaya dengan semua yang ada di media sosial serta jangan kongsi apabila anda tidak pasti,” kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Menurutnya, ketika media sosial mengubah cara masyarakat berkomunikasi pada hari ini dan menjadi dunia tanpa sempadan, perlu ada rasa tanggungjawab terhadap catatan yang disiarkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast