PUTRAJAYA- Pengerusi Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid percaya hasil kajian badan tersebut akan digunakan untuk mentransformasikan Dasar Pendidikan Negara pada masa akan datang.
Jelasnya, Malaysia mewarisi sistem pendidikan British yang terkenal sebagai sistem yang terbaik di dunia sejak berdekad-dekad yang lalu.
Bagaimanapun seiring dengan perkembangan semasa, sistem pendidikan juga perlu ditransformasi agar sesuai dengan perubahan dan kehendak global.
“Kita mewarisi sistem pendidikan terbaik di dunia tetapi kita perlu faham di antara pembangunan bersifat one-off dengan pembangunan berterusan.
“Dunia berubah setiap hari begitu juga dengan penyelidikan, sistem pendidikan dan sebagainya.
“Apa yang kita mahu capai kali ini adalah membangunkan satu bangsa Malaysia, walaupun mungkin ramai yang tidak suka dengan istilah ini tetapi saya harus tekankan, kita perlu membangunkan bangsa Malaysia iaitu satu bangsa yang merentasi kaum, budaya dan bahasa.
“Kita mahu sebuah bangsa Malaysia yang kuat dan mempunyai matlamat yang sama,”katanya semasa sidang media di sini.
JKD adalah badan bebas yang ditugaskan untuk membuat kajian terhadap dasar-dasar pendidikan negara.
Sejak menerima surat pelantikan pada 18 Oktober lalu, JKD telag mengadakan siri pertemuan dengan lebih 5,000 orang menerusi pelbagai bentuk perbincangan secara bersemuka, sesi dialog awam, taklimat dan syarahan umum.
JKD juga mempelawa orang ramai mengemukakan cadangan dan idea melalui pautan https://goo.gl/forms/fg0dj2BFqQPoGEZx1. -MalaysiaGazette
















