KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan negara kehilangan tokoh wanita yang dihormati ekoran pemergian Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini.
Beliau berkata, Allahyarham bukan sahaja dikenali sebagai isteri kepada seorang bekas Perdana Menteri, tetapi mempunyai jasa dan sumbangannya tersendiri sebagai seorang doktor, tokoh masyarakat serta wanita yang begitu lama menabur bakti kepada negara.
Menurut Ahmad Fadhli, Tun Dr. Siti Hasmah melalui kehidupan yang panjang di samping Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui pelbagai fasa suka dan duka ketika berada di puncak kepimpinan negara mahupun selepasnya.
“Sebuah perjalanan bersama yang panjang dan tentunya meninggalkan begitu banyak kenangan.
“Salam takziah diucapkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga atas pemergian Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Almarhumah, merahmati rohnya, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang solehah.
“Semoga Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan menghadapi kehilangan insan yang amat dikasihi. Al-Fatihah,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri yang juga ibu kepada tujuh anak, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pagi ini pada usia 100 tahun.
Berita pemergian Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir hari ini. – MalaysiaGazette
















