Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi. foto Agensi

BANGKOK – Satu keputusan luar biasa apabila kakak Raja Thailand mengumumkan untuk menyertai persaingan bagi jawatan perdana menteri.

Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi, 67, akan bertanding bagi parti yang bersekutu dengan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra, menurut kertas pendaftaran.

Keputusan beliau telah memecah tradisi keluarga diraja Thailand yang tidak campur tangan dalam politik.

Thailand dijangka mengadakan pilihan raya pada 24 Mac ini.

Pilihan raya itu diikuti secara rapat kerana ia adalah kali pertama Thailand kembali kepada demokrasi selepas lima tahun berada di bawah undang-undang tentera.

Puteri Ubolratana dilahirkan pada tahun 1951 adalah anak sulung kepada Raja Bhumibol Adulyadej.

Selepas berkahwin dengan warga Amerika Syarikat pada tahun 1972, beliau meninggalkan gelaran diraja dan berpindah ke negara tersebut.

Namun, selepas bercerai beliau kembali dalam keluarga diraja.

Bagaimanapun, seorang pemimpin parti pro-tentera berkata, pencalonan kakak kepada Raja Thailand itu melanggari undang-undang pilihan raya.

Paiboon Nititawan, pemimpin daripada Parti Reformi Rakyat telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya supaya memutuskan sama ada untuk membatalkan pencalonan Puteri Ubolratana.

Katanya, pencalonan itu akan melanggar undang-undang yang menghalang parti-parti politik daripada menggunakan monarki semasa berkempen. – MalaysiaGazette