Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Para pelabur antarabangsa berkeyakinan dengan potensi ekonomi Malaysia serta kebolehan kerajaan untuk memacu ekonomi negara ke hadapan.

Malaysia terus dilihat sebagai destinasi pelaburan yang menarik oleh para pelabur, lebih-lebih lagi dengan komitmen kerajaan untuk mentadbir berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau ke Jepun selama 3 hari sejak 6 Februari lalu untuk bertemu dan berunding dengan pelabur-pelabur dan pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Jepun.

Misi itu melibatkan 20 peserta, termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, Timbalan KSP, Datuk Siti Zauyah Md Desa dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Marzunisham Omar.

Kementerian Kewangan berkata, lawatan ini bertujuan memasarkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan
yang stabil dan berpotensi tinggi, sekali gus dapat memberi keyakinan kepada komuniti pelaburan antarabangsa untuk mengambil bahagian di dalam bon samurai bernilai 200 bilion yen yang dijamin oleh Japan Bank Investment Corporation (JBIC).

Jerayawara ini telah diaturkan oleh Daiwa Markets Limited (dengan kerjasama Affin Hwang Investment Berhad), HSBC Bank Malaysia Berhad dan Mizuho Bank (Malaysia) Berhad selaku pengatur utama bersama (pengatur utama) yang dilantik oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan penerbitan bon tersebut.

Semasa di sana, Guan Eng berkesempatan untuk bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Jepun, Taro Aso; dan Penasihat kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Awam,
Hiroto Izumi.

Dalam pertemuan itu, Guan Eng menyampaikan penghargaan Malaysia di atas kesudian Kerajaan Jepun melalui JBIC untuk memberikan jaminan ke atas bon Samurai Malaysia untuk mengurangkan kos pembiayaan ke atas pinjaman.

Pihak kerajaan Jepun bukan sahaja telah memudahcara terbitan bon Samurai ini dalam tempoh yang singkat, tetapi juga membuka peluang perniagaan dalam bidang lain, tambahnya. – MalaysiaGazette