KUALA LUMPUR – Laporan polis yang dibuat oleh Parti Amanah Negara (PAN) ke atas Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamarudin Sidek adalah langkah terdesak parti itu menutup kelemahan mereka dalam urus tadbir kerajaan negeri.
Bahkan, perbuatan itu juga bagi menghalang lebih banyak tindakan mereka memproksikan jabatan atau agensi kerajaan untuk kepentingan politik kepartian terbongkar.
Ketua Dewan Pemuda Pas Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, sikap sedemikian juga bermakna cubaan PAN menutup kemungkinan salah laku dan ketidaktelusan integriti, serta paling nyata adalah ikrar untuk membebaskan institusi rakyat dari pengaruh atau campur tangan politik hanyalah janji kosong.
“Sedangkan Pas selaku parti bukan kerajaan hanya bertindak bagi tujuan hisbah atau semak dan imbang,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, reaksi itu umpama takutkan bayang-bayang sendiri dan menimbulkan syak serta sangsi bahawa PAN juga menyembunyikan kepincangan dan bimbang hakikatnya dari diketahui rakyat.
“Malang, mereka yang berada ditampuk pemerintahan kerajaan tidak berani untuk terbuka menjelaskan perkara sebenar atau membetulkan keterlanjuran.
“Sebaliknya, menidakkan perkara sebenar dari menjadi maklumat kepada rakyat menggunakan kekuasaan dan penguat kuasa.
“Jika perkara yang dinyatakan Kamarudin itu adalah dakwaan, tuduhan atau fitnah, mengapa pihak tersebut yang sedang berkuasa takut untuk turun bertemu rakyat datang dan menyelesaikan isu berbangkit,’ katanya.
Ahmad Bilal berkata, biarpun kerajaan mahupun PAN cuba menafikan, rakyat yang mengalami sendiri perkara tersebut di peringkat akar umbi negeri sedang merasainya.
Kata beliau, amalan, tradisi atau rutin di masjid atau kariah penduduk yang telah mapan sekelian lama sedang diusik oleh tangan politik.
“Jangan bodohkan rakyat di era kecelikan politik terbuka kini,” katanya. – MalaysiaGazette
















